ALGARVE, Portugal – Ketika saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) hampir membuka tirai, kem pasukan Yamaha dilihat masih bergelut selepas pelumba utamanya, Fabio Quartararo menyifatkan bahawa pasukannya itu masih belum bersedia sepenuhnya.
Juara dunia MotoGP 2021 itu memberi amaran tersebut selepas tidak berpuas hati dengan prestasinya sewaktu ujian pramusim terakhir di Portugal apabila menamatkan saingan tempat kelapan keseluruhan.
Kebimbangan Quartararo lebih ketara terutamanya ketika MotoGP menganjurkan perlumbaan ‘sprint’ pada perlumbaan musim ini.
“Masalahnya bukan tertumpu pada perlumbaan kelayakan saja, tetapi kami juga berdepan masalah menggunakan tayar baharu ketika ingin mendapatkan keputusan terbaik sewaktu perlumbaan ‘sprint’.
“Saya sangat bimbang mengenai perlumbaan ‘sprint’ nanti kerana saya lihat kami lebih perlahan setengah saat berbanding pasukan lain ketika menggunakan tayar baharu. Pasukan lain juga menggunakan tayar baharu, tetapi mereka lebih laju.
“Apa yang pasti kami belum bersedia untuk perlumbaan pertama. Buat masa ini saya tidak selesa dengan jentera ini. Saya menunggang dengan teruk meskipun menggunakan tayar baharu pada sesi ujian tersebut.
“Walaupun saya cuba untuk lebih tenang dan memahami cara menunggang jentera dengan lebih baik, namun saya masih gagal untuk mendapatkan rentak. Saya harap kami dapat temui sesuatu sebelum perlumbaan bermula,” katannya.
Lebih mengecewakan, Ducati terus cemerlang di Litar Algarve apabila Francesco Bagnaia menamatkan sesi ujian tersebut sebagai pelumba terpantas dengan catatan satu minit 38.771 saat.
Sementara itu, pelumba Mooney VR46, Luca Marini turut cemerlang apabila hanya dipisahkan 0.234 saat di belakang Bagnaia meskipun menggunakan jentera Ducati musim lalu.
Pasukan Aprilia turut mengganas apabila menguasai kelompok enam terbaik menerusi Maverick Vinales yang menamatkan sesi ujian tesebut di tempat ketiga terpantas diikuti pelumba pasukan RNF Aprilia, Raul Fernandez tempat kelima dan Miguel Oliveira tempat keenam terpantas. – AGENSI