fbpx

MIFFest sasar Malaysia jadi hab filem Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGANJUR berharap dapat mengundang Michelle Yeoh tampil sebagai selebriti jemputan bagi berkongsi pengalaman dengan karyawan. – SHIDDIEQIIN ZON

MEMASUKI edisi keenam, Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) bakal meletakkan Malaysia sebagai hab filem terbaik Asia, sekali gus menjadi gelanggang perhimpunan penggiat industri perfileman di rantau ini.

Dalam merealisasikan misi yang ingin diraih untuk tempoh empat tahun lagi, penganjurnya saban tahun tidak ketinggalan mengundang personaliti yang mempunyai kredibiliti dan reputasi sebagai juri mahupun artis undangan.

Andai tahun lalu menyaksikan aktres Indonesia, Christine Hakim duduk di kerusi juri, Pengerusi MIFFest, Joanne Goh berkata, tahun ini penganjur mengharapkan kehadiran bintang Hollywood asal Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh berkongsi aspirasi pada malam kemuncak acara Julai depan.

Katanya, kedatangan Aktres Wanita Terbaik Golden Globe itu secara tidak langsung menyuntik semangat pemain industri selain berkongsi pengalaman sepanjang empat dekad bergelar karyawan seni.

JOANNE GOH meneruskan misi menjadikan Malaysia sebagai hab perfileman di rantau ini.

“Beberapa tahun lalu MIFFest pernah mengundang Yeoh, namun beliau tidak dapat memenuhi undangan kami disebabkan pertembungan dengan jadual penggambaran.

“Bagi penganjuran tahun ini kami belum lagi mengajukan jemputan kepadanya, namun berharap beliau dapat pulang ke Malaysia pada tarikh MIFFest diadakan Julai nanti atau mungkin pada edisi akan datang.

“Sudah tentu kami berbesar hati andai beliau dapat tampil ke majlis yang turut menghimpunkan ramai pemain industri dari seluruh rantau ini untuk sama-sama meraikan hasil karya mereka.

“Kejayaannya di arena global bertepatan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab filem serantau,” katanya mengulas kemungkinan selebriti kelahiran Ipoh, Perak itu tampil di Lalaport Bukit Bintang City Centre antara 23 hingga 29 Julai depan.

Akui Goh lagi, barisan artis jemputan serta juri undangan dari Hong Kong, Jepun, Vietnam dan Malaysia hanya akan diumumkan pada sidang media yang diadakan sebulan sebelum majlis pengiktirafan diadakan.

Penganjur turut mengumumkan kemunculan ‘aktor pemenang anugerah’, Bront Palarae sebagai duta MIFFest buat kali keempat.

Tambah Goh, aktor dihormati itu mempunyai visi serta misi yang sama dengannya dalam memartabatkan dan mempromosikan seni budaya.

BRONT Palarae menggalas tanggungjawab sebagai duta MIFFest untuk tahun keempat.

“Kami berbangga memperkenalkan negara dan budaya Malaysia ke seluruh dunia menerusi filem serta karya seni,” katanya.

Bagi edisi tahun ini, MIFFest turut mengumumkan kerjasama dengan BMW Shorties, pertandingan filem pendek paling berprestij yang sudah wujud sejak 17 tahun lalu.

Pemenang hadiah utama BMW Shorties kali ini bakal menerima geran RM80,000 dan hadiah lain. Malah, filem yang memenangi pertandingan juga bakal ditayangkan di festival tersebut.

Tahun ini penganjur menerima hampir 300 penyertaan daripada 56 buah negara dengan 26 naskhah adalah terbitan produksi tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI