PELAKON kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh mencatat sejarah sebagai anak tempatan pertama yang menang trofi Oscar.
Michelle atau nama sebenarnya, Yeoh Choo Kheng, 61, diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan mantapnya sebagai Evelyn Quan Wang dalam filem Everything Everywhere All at Once.
Lebih membanggakan, pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu merupakan aktres Asia pertama yang berjaya menggenggam trofi berprestij tersebut.
“Untuk budak-budak kecil di luar sana yang kelihatan seperti saya menonton sekarang, ini adalah bukti impian memang boleh jadi nyata.
“Buat kalian wanita, jangan biar sesiapa beritahu anda dah melepasi zaman muda ‘prime’ anda. Jangan pernah mengalah.
“Saya nak mendedikasikan trofi ini buat ibu saya. Beliau sedang menonton sekarang di Kuala Lumpur, Malaysia bersama-sama keluarga dan rakan-rakan. Saya sayang anda semua. Saya akan bawa trofi ini ke rumah,” katanya dalam nada sebak ketika memberi ucapan.
Kemenangan Michelle tersebut sekali gus menewaskan pesaing lain seperti Cate Blanchett, Andrea Riseborough, Ana De Armas dan Michelle Williams.
Academy Awards ke-95 berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, California, Amerika Syarikat dan diacarakan oleh hos, Jimmy Kimmel.
Senarai penuh pemenang diumumkan menerusi laman rasmi https://www.oscars.org/oscars/ceremonies/2023. – KOSMO! ONLINE
Michelle Yeoh accepts the Oscar for Best Actress for her outstanding performance in 'Everything Everywhere All At Once' #Oscars #Oscars95 pic.twitter.com/fIDMBH1rEy
— The Academy (@TheAcademy) March 13, 2023