PETALING JAYA – Pengacara dan usahawan Roslan Shah mendedahkan mesej ugutan yang diterima Uqasha Senrose dan Kamal Adli dihantar pada hari majlis perkahwinan pasangan tersebut.
Menurut Roslan, mesej tersebut dimaklumkan oleh salah seorang staf Uqasha dan Kamal awal pagi tadi.
“Kami dimaklumkan oleh salah seorang admin (staf) Uqasha dan Kamal mengenai mesej ugutan tersebut yang diterima pada hari perkahwinan mereka.
“Namun, apa motif mesej tersebut dihantar oleh individu itu masih belum dapat dikenal pasti. Semuanya akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Dalam pada itu, sebagai pihak yang bertanggungjawab membawa beberapa selebriti tanah air ke Singapura, Roslan bagi menyertai Halal Food Expo 2023 dan Hari Raya Mega Sale di Singapore Expo Hall, Singapura tidak berasa kesal namun berharap kawalan keselamatan akan lebih diperketatkan selepas ini.
“Saya tidak rasa kesal pun sebab niat saya cuma bawa selebriti Malaysia ke sana mencari rezeki. Tiada siapa pun mahu kejadian tersebut berlaku.
“Saya harap selepas ini pihak penganjur akan perketatkan keselamatan termasuk untuk peniaga dan pengunjung. Ada kemungkinan juga untuk mendapatkan khidmat pengawal keselamatan,” katanya lagi.
Roslan juga memberitahu lokasi penginapan mereka di Singapura terpaksa dirahsiakan atas faktor keselamatan.
Sekadar info, Uqasha dan Kamal mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Semalam, pelakon drama Akira Khan itu memuat naik sebuah video dalam keadaan menangis apabila berkongsi insiden berdarah yang berlaku terhadap suaminya.
Katanya, Kamal dipukul berkali-kali oleh individu tidak dikenali di bahagian kepala, muka dan badan serta mengalami kecederaan parah sehingga perlu menjalani pembedahan.
Suspek juga dilaporkan sudah ditahan oleh pihak polis dan Kamal juga kini difahamkan menerima rawatan di Hospital Besar Changi.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mereka mengikut acara Singapore Expo yang berakhir semalam. – KOSMO! ONLINE