JOHOR BAHRU – Keadaan banjir di negeri ini menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan seramai 40,847 mangsa banjir yang ditempatkan di 139 pusat pemindahan sementara (PPS) pada pukul 8 pagi, hari ini.
Jumlah mangsa banjir tersebut menunjukkan sedikit pengurangan berbanding semalam iaitu seramai 41,661 mangsa yang ditempatkan di 142 PPS, pada pukul 8 malam.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, jumlah mangsa banjir terkini itu terdiri daripada sejumlah 11,496 buah keluarga.
“Ketika ini, empat daerah masih terjejas akibat banjir dengan daerah yang menempatkan paling ramai mangsa kekal Batu Pahat dengan seramai 39,256 mangsa, diikuti daerah Muar (781 mangsa), Tangkak (576 mangsa) dan Segamat (234 mangsa).
“Daerah lain yang sebelum ini terjejas telah pulih sepenuhnya apabila kesemua mangsa yang ditempatkan di PPS di daerah terlibat telah dibenarkan pulang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini .- KOSMO! ONLINE