Sebaik melangkah ke wad kecemasan di sebuah pusat perubatan utama di Lembah Klang baru-baru ini, penulis yang memiliki kad perubatan agak mudah untuk mendaftarkan diri serterusnya mendapatkan rawatan lanjut bermula daripada doktor perubatan hinggalah kepada pakar.
Setiap ‘sentuhan’ dan layanan daripada kakitangan yang cukup mesra sehinggakan tusukan jarum yang ngilu di bahagian tangan tidak terasa pedihnya kerana mereka begitu menjaga pesakitnya yang berada dalam kesakitan dilayan agar rasa tenang jiwa dan perasaan.
Namun, semua itu dikira dengan nilai wang ringgit yang mana ia bukan calang-calang harga bayarannya apabila melihat bil terperinci yang dikepilkan bersama beberapa surat pengesahan daripada doktor dan sijil cuti sakit.
Untung bagi mereka yang memiliki kad perubatan, dilindungi insurans, takaful yang membuatkan kesakitan yang dialami dapat dirawat dengan segera oleh para doktor dan jururawat seterusnya menjalani pelbagai pemeriksaan menggunakan teknologi canggih di hospital.
Lain pula jika tiada perlindungan insurans dan takaful akhirnya terpaksa berkunjung ke hospital kerajaan, pastinya pesakit tersebut perlu menahan sabar menunggu dan menempuhi pelbagai cabaran lain sehinggalah ke proses dimasukkan ke wad.
Bergantung pada nasib dan ‘rezeki’ masing-masing, mungkin ada yang terpaksa menunggu hampir lebih lapan jam atau mungkin terpaksa balik dengan tangan kosong tanpa dirawat, lantas terpaksa singgah ke farmasi untuk mendapatkan ubat tanpa preskripsi daripada doktor bertauliah.
Bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini khususnya bagi mereka yang masih muda, baru bekerja dan merancang untuk pelan pelaburan serta perlindungan kesihatan, rebutlah peluang ini untuk mendapatkan pelan mampu milik bagi kepentingan masa depan.
Memang benar, masyarakat kini agak ‘trauma’ jika didekati oleh rakan, saudara mara, individu yang tidak dikenali yang bergelar ejen atau perunding insurans atau takaful mempromosikan produk serta perkhidmatan masing-masing.
Jika berada di pusat beli-belah, kita sanggup membuat pusingan U untuk mengelak daripada terserempak dengan kumpulan ejen berkenaan, malah ada yang terpaksa ‘putus kawan’ atau tinggalkan kumpulan WhatsApp sekiranya terdapat ejen insurans yang rajin mempromosikan produk serta perkhidmatan.
Namun, itulah cara mereka untuk membantu meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai pentingnya perlindungan insurans dan takaful serta kad perubatan selain menambah pendapatan demi kelangsungan hidupnya.
Jangan tunggu bila terlantar sakit kerana ujian Allah itu bukan menunggu pada hari tua sahaja.
Berkawanlah dengan ejen insurans, milikilah kad perubatan dengan kadar premium yang mengikut bajet masing-masing kerana kos untuk menjadi sihat terlalu mahal harganya kini.