KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 5 peratus, berbanding 4.1 peratus sekali gus tertinggi sejak 2018.
Ia melibatkan jumlah pembayaran pada 2022 sebanyak RM476.45 juta, manakala pada tahun sebelumnya adalah sebanyak RM379.42 juta.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau gembira dan bersyukur kerana LTAT memperuntukkan sejumlah peruntukan kewangan daripada keuntungan operasi syarikat sebanyak 5 peratus untuk dividen tersebut.
“Ini mengambil kira suasana pasaran dan hampir tiga tahun negara berdepan pandemik. Tetapi atas kecekapan pengurusan, dapat pulangan daripada pelaburan yang akhirnya peruntukan sejumlah kewangan dengan pembayaran dividen.
“Justeru saya yakin dengan pengurusan LTAT sedia ada ketika ini selain menambah nilai program tabungan LTAT dalam memberi hasil yang baik,” katanya pada sidang akhbar pengumuman kadar dividen LTAT di sini hari ini.
Pengkreditan dividen 2022 kepada 122,935 pencarum telah dilaksanakan Jumaat lalu dan mereka boleh mendapatkan maklumat terkini melalui aplikasi mudah alih MyWIRA atau laman web LTAT di www.ltat.gov.my.
Sementara itu, LTAT merekodkan RM652.36 juta Pendapatan Kasar untuk tahun dalam tinjauan, peningkatan 27.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, yang didorong hasil pendapatan pelaburan ekuiti awam dan ekuti persendirian.
Bagi Pendapatan Tertahan (pasca dividen) pula merekodkan RM499.64 juta iaitu peningkatan signifikan sebanyak 72.8 peratus berbanding RM289.15 juta pada tahun sebelumnya. – KOSMO! ONLINE