Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari memuji anak buahnya yang mempamerkan karekter sebenar bagi mencatatkan kemenangan selesa 5-1 ke atas Kelantan FC petang kelmarin.
Solari berkata, bukan mudah untuk mengekalkan intensiti pada setiap perlawanan, namun skuad Harimau Selatan tetap mempamerkan taring mereka sekali gus mengekalkan rentak kemenangan bagi empat perlawanan berturut-turut.
“Bagi saya ini adalah perlawanan yang mencabar kerana selepas menang 7-0 ke atas Negeri Sembilan, secara psikologinya pasukan dituntut mengulangi kejayaan yang sama.
“Bagaimanapun, pemain berjaya membuktikan kemampuan dan mendapat gol awal. Selepas itu, rentak permainan kita sedikit perlahan sebelum kembali menjaringkan dua gol pada babak pertama
“Walaupun sukar mengekalkan intensiti pada setiap perlawanan, pemain tetap memberikan yang terbaik dan itu membuatkan saya cukup gembira,” katanya selepas tamat perlawanan.
Dalam pada itu, Solari berharap pemain dapat pengajaran berguna setelah pasukannya bolos buat pertama kali musim ini menerusi jaringan Leonardo Rolon pada babak kedua.
“Walaupun saya mengharapkan rekod tanpa bolos itu bertahan lebih lama, ia memberi pengajaran berguna ada masanya kita hilang fokus dan apa-apa boleh berlaku dalam bola sepak,” ujarnya.
Ditanya mengenai keputusan tidak menurunkan penjaring terbanyak musim lalu, Bergson Da Silva, Solari berkata, dia tidak mahu mengambil risiko selain percaya Diogo Luis Santo mampu menggalas tugas dengan baik seperti dipamerkan.
“Dengan merehatkan Bergson, saya menagih khidmatnya pada tahap 100 peratus untuk perlawanan seterusnya menentang Selangor,” katanya.