PETALING JAYA – Pelakon Uqasha Senrose berkongsi perkembangan terkini suaminya, Kamal Adli yang sudah mula sedarkan diri selepas ditidurkan untuk menjalani pembedahan akibat dipukul lelaki tidak dikenali dalam sebuah kejadian berlaku malam tadi di Singapore Expo Hall, Singapura.
Bagaimanapun menurut Uqasha, 31, suaminya yang dirawat di Hospital Besar Changi masih berada dalam keadaan mamai selepas pembedahan.
“Alhamdulillah Kamal sudah sedar dan masih mamai. Harap semua doakan keselamatan kami.
“Untuk hal lain, kami serahkan kepada pihak polis untuk buat siasatan lanjut,” kongsinya.
Kejadian serangan yang menimpa Kamal Adli mengejutkan ramai kerana pelakon itu secara tiba-tiba dipukul seorang lelaki tidak dikenali menggunakan chota (kapak India dengan pemegang panjang) berkali-kali.
Lebih memburukkan keadaan, Uqasha dalam satu perkongsian tangkap layar mesej mendedahkan suaminya pernah menerima ugutan bunuh daripada individu tidak dikenali.
“Hey, pesan kepada Kamal, aku mesti bunuh dia. Aku mesti seksa dia habis-habisan okey, an*ng kepa*t,” kata individu berkenaan.
Semalam, Uqasha memuat naik sebuah video dalam keadaan menangis apabila berkongsi insiden berdarah yang menimpa suaminya.
Katanya, Kamal dipukul berkali-kali oleh individu tidak dikenali di bahagian kepala, muka dan badan serta mengalami kecederaan parah sehingga perlu menerima beberapa jahitan.
Suspek juga dilaporkan sudah ditahan oleh pihak polis.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mereka mengikut acara Singapore Expo Hall semalam. – KOSMO! ONLINE