fbpx

Jangan kecam warga emas lanjut pengajian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
TUAN NURHIDAYAH TUAN AB GHANI, WARTAWAN EKSEKUTIF

Menuntut ilmu merupakan satu perkara yang berfaedah dan sangat penting bagi membuka minda seseorang sekali gus memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga dan juga komuniti.

Bagaimanapun, tidak semua menyedari perkara itu, malah ada yang memperlekehkan apabila ada warga emas yang me­nyambung pengajian.

Baru-baru ini tular mengenai seorang wanita berusia 64 tahun yang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda. Kisah wanita berkenaan yang beratur menaiki bas untuk ke kelas menerima ­kecaman daripada pengguna media sosial.

Rata-rata netizen ada yang meminta warga emas tersebut untuk tinggal di rumah, mendekatkan diri dengan Tuhan dan menghabiskan masa dengan mengaji al-Quran.

Entah apa silapnya, namun perkara itu jelas membimbangkan dan mengecewakan di mana ramai pihak menganggap menuntut ilmu serta melanjutkan pelajaran ini hanya sesuai bagi golongan muda sahaja.

Sebagai seorang pembaca saya turut terguris hati dengan komen sedemikian dan mempersoalkan mengapa wujudnya golongan yang berfikiran cetek sedemikian sedangkan ilmu itu sangat luas dan ibarat ‘pelita’ yang menyinari hidup seseorang?

Mengulas lanjut isu berke­naan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Professor Dr. Norkhalid Salimin berkata, kecaman dan komen terhadap wanita terbabit adalah tidak wajar.

“Kita sepatutnya meraikan sesiapa sahaja yang ingin melanjutkan pelajaran, tanpa mengenal had umur. Pihak universiti sa­ngat mengalu-alukan niat mulia sedemikian.

“Jalan untuk menuntut ilmu sentiasa terbuka luas. Banyak universiti termasuk UPSI sendiri, yang menawarkan program-program pengajian sepanjang hayat dengan menawarkan kursus-kursus sijil dan diploma dalam pelbagai bidang.

“Selain itu, stigma masyarakat terhadap individu yang menyambung pengajian untuk mendapatkan pekerjaan yang bagus perlu diperbaiki ke­rana ia sepatutnya bermula dengan niat untuk menuntut ilmu,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.

Mengulas mengenai tindakan ramai yang mengecam wanita terbabit, beliau menasihatkan orang ramai supaya mendoakan yang terbaik buatnya kerana untuk meneruskan pelajaran dalam usia sedemikian adalah tidak mudah.

“Ilmu itu sangat luas dan kita sebagai manusia perlu sentiasa menimba ilmu. Tuntutlah ilmu hingga liang lahad.

“Seterusnya, amal ibadah bukan sahaja fokus terhadap ilmu agama iaitu dengan membaca al-Quran dan Hadith. Melakukan pekerjaan seharian, menuntut ilmu duniawi juga ibadah.

“Jangan jadikan umur sebagai penghalang lantas menghentikan niat murni menuntut ilmu yang mungkin memberi faedah kepada orang lain,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru masyarakat agar tidak menghakimi pilihan jalan hidup orang lain terutamanya bagi mereka yang memasang angan-angan baik untuk menuntut ilmu.

“Kita tiada hak untuk menghakimi amal ibadah orang, mungkin dia ada cita-cita yang tergendala sebelum ini. Ia mungkin untuk kepuasan diri yang telah lama diinginkan. Hal sebegini perlu dicontohi.

“Untuk berjaya ke menara ga­ding jangan fikir mengenai pandangan orang. Malah, individu lain juga perlu belajar hormat dengan pilihan mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI