fbpx

EPL: Arsenal ceria, Manchester United tercicir mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kapten Arsenal, Martin Odegaard meraikan jaringan gol yang dilakukan sebentar tadi. - Foto ihsan Arsenal

LONDON – Pasukan Arsenal mengukuhkan cengkaman pendahulu apabila mempamerkan aksi cemerlang selepas menewaskan Fulham 3-0 pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Craven Cottage sebentar tadi.

Pada aksi tersebut, skuad The Gunners kendalian Mikel Arteta mengekalkan sebelasan utama terbaik dengan menyenaraikan Leandro Trossard, Gabriel Martinelli dan Bukayo Saka untuk mengetuai jentera serangan.

Skuad The Gunners hanya memerlukan masa 21 minit untuk memecah kebuntuan hasil jaringan yang dilakukan oleh pemain pertahanan, Gabriel menerusi sepakan penjuru yang diambil oleh Trossard.

Gol tersebut menaikkan lagi semangat pasukan pelawat untuk mendapatkan jaringan kedua yang berjaya disudahkan oleh Martinelli selepas menerima hantaran Trossard berselang empat minit kemudian.

Arsenal terus tersenyum lebar apabila menamatkan aksi pada babak pertama dengan gol ketiga hasil jaringan kapten pasukan, Martin Odergaard untuk mengesahkan tiga mata berharga menjadi milik pasukan.

Bersambung pada separuh masa kedua, kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas serangan tetapi tiada tambahan gol dapat dilakukan dengan keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu, di Stadium Old Trafford, skuad Manchester United terpaksa akur apabila meraih keputusan seri tanpa jaringan dengan kelab tercorot liga, Southampton.

The Red Devils terpaksa bermain dengan 10 orang untuk sebahagian besar perlawanan selepas pemain tengah berpengaruh, Casemiro dilayangkan kad merah pada minit ke-34.

Keputusan tersebut menyaksikan Arsenal kekal di tangga pertama dengan 66 mata manakala United di tempat ketiga selepas mengutip 50 mata. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI