ALOR SETAR – “Saya rasa bahagia sangat hari ini apabila dapat peluk anak yang sudah sembilan tahun saya ‘tinggalkan’, alhamdulillah akhirnya doa saya untuk peluk dan cium anak dimakbulkan Tuhan.”
Demikian luahan seorang penghuni Penjara Pokok Sena yang dikenali sebagai Siti, 35, yang sedang menjalani hukuman penjara selama 30 tahun kerana terlibat dalam jenayah penculikan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.
Siti merupakan antara 20 penghuni penjara tersebut yang diberikan peluang untuk bertemu dengan anak dan keluarga masing-masing sempena Program Jalinan Kasih Ibu dan Anak peringkat penghuni wanita Penjara Pokok Sena anjuran bersama Pejabat Pengarah negeri di sini kelmarin.
Menurut ibu kepada enam orang anak itu, dia bersyukur kerana dapat melepaskan rindu dengan mencium dan memeluk anak lelakinya yang kini berusia 13 tahun.
“Walaupun tidak dapat berjumpa dengan semua anak, namun saya tetap berpuas hati kerana diberikan peluang ini kerana tempoh hukuman yang perlu saya lalui masih panjang.
“Tempoh 30 tahun di dalam penjara itu bukanlah singkat dan walaupun sakit merindui anak-anak itu sangat pedih, saya perlu kuat untuk teruskan kehidupan dengan menganggap ini sebagai ujian,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.
Katanya, dia bagaimanapun berasa sayu apabila anak melahirkan kesedihan kerana tidak mendapat kasih sayang seorang ibu.
“Anak cakap, ibu, kasih sayang yang adik terima tak sama dengan kasih sayang yang seorang ibu curahkan kepada anaknya.
“Saya rasa sedih bila dengar luahan anak itu dan saya sedar itu semua berpunca daripada kesilapan sendiri yang lalai sebelum ini,” katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.
Jelasnya, dia perlu kuat demi anak-anak dan bersyukur kerana menjalani pemulihan yang baik dan sempurna di penjara itu yang mana kakitangan penjara sentiasa memberi sokongan kepadanya.
Seorang lagi penghuni dikenali sebagai Kina, 28, dia gembira kerana dapat bertemu suami dan dua anak lelaki berusia empat dan enam tahun setelah dua tahun dipenjara atas kesalahan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana melakukan penderaan.
“Cuma saya sedih sangat apabila melihat keadaan anak sulung yang sedikit kurus. Dia juga seperti mengelak untuk bersalam dan memeluk saya kerana mungkin sudah lama tidak berjumpa.
“Saya perlu jalani hukuman penjara selama dua tahun lapan bulan lagi dan hari-hari saya berdoa supaya tabah jalani ujian ini. Saya nak balik, nak masak dan suap makanan kepada suami dan anak,” jelasnya yang berasal dari Johor.
Kina yang pernah memenangi johan Pertandingan Tilawah Al-Quran Dan Nasyid peringkat penghuni penjara seluruh negara pada tahun lalu juga menyifatkan pertemuan kelmarin sebagai hadiah hari ulang tahun kelahirannya pada Jumaat lalu.
Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Kedah, Abdul Kadir Jailani Ismail berkata, program itu dijalankan bagi memastikan hubungan seorang ibu dengan anak tidak terputus di sebalik tirai besi.
“Kita mahu tunjuk keluarga masih ambil berat dan sayang penghuni di sini dan inisiatif ini adalah bagi ubah mereka jadi lebih baik bila bebas nanti,” ujarnya.