KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ketika ini sedang membentuk satu jawatankuasa khas yang akan bertanggungjawab membuat semakan dan kajian mendalam ke atas dasar pendidikan tinggi nasional.
Timbalan menterinya, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, penubuhan jawatankuasa khas tersebut dilakukan sebagai usaha kementerian untuk melakukan reformasi pendidikan tinggi negara.
“Matlamat dan mandat utama jawatankuasa tersebut adalah untuk melihat kekurangan, kelemahan, malah kekuatan dasar sedia ada dan seterusnya memberikan saranan serta pandangan mereka.
“Dasar yang dilihat sudah tidak relevan akan dihentikan. Begitu juga, dasar-dasar yang dilihat lemah akan ditambah baik dan diperkemas. Dasar baharu yang dilihat relevan dan perlu berdasarkan cabaran dan perkembangan semasa akan dicadangkan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang ingin tahu apakah langkah yang akan dilaksanakan KPT untuk merealisasikan reformasi pendidikan di kalangan institusi pengajian tinggi di negara ini.
Tambah Mohammad Yusof, keahlian jawatankuasa yang bakal dilantik melibatkan tokoh dalam pendidikan tinggi dan tokoh terkemuka industri yang boleh menyumbang idea serta buah fikiran bernas secara holistik bagi meningkatkan kualiti dan prestasi penyampaian pendidikan tinggi.
“Jawatankuasa itu juga akan diperuntukkan masa tiga bulan untuk mengemukakan dapatan dan saranan penambahbaikan yang bakal menjadi asas pembangunan pelan induk pendidikan tinggi negara.
“KPT telah mengutarakan 11 azam yang akan menjadi fokus utama kementerian dalam melonjakkan sektor pendidikan tinggi negara.
“Antara fokus yang telah disenaraikan antara lain memastikan hala tuju dan aspirasi nasional diberikan perhatian oleh IPT kita, memperkasa mahasiswa dengan memberikan gerakan mahasiswa lebih banyak tanggungjawab dan peranan khususnya dalam hal yang melibat aktivisme dan kepimpinan mahasiswa,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.