fbpx

Cemburu nikahi Uqasha Senrose motif Kamal Adli diserang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar mesej berupaya ugutan yang diterima Uqasha Senrose.

PETALING JAYA – “Suspek beritahu cemburu Kamal kahwin dengan saya.”

Demikian dakwa pelakon Uqasha Senrose tentang motif serangan seorang lelaki difahamkan warga Singapura terhadap suaminya, Kamal Adli menggunakan chota (kapak India dengan pemegang panjang) sehingga mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan harus ditidurkan.

Ujar Uqasha atau nama lengkapnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, penyerang sempat menjerit cemburukan pelakon berusia 37 tahun itu kerana berkahwin dengannya.

“Kata suspek dia ada isu peribadi dengan Kamal dan bila ditanya lagi, dia beritahu bahawa dia cemburu apabila Kamal berkahwin dengan saya,” katanya.

Menerusi satu hantaran yang dikongsikan Uqasha dalam InstaStorynya, pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu juga memaklumkan suaminya telah lama menjadi sasaran suspek untuk diserang sebelum kejadian tersebut berlaku malam tadi.

Lebih menakutkan, Uqasha turut berkongsi tangkap layar paparan mesej dikirimkan seseorang yang mengugut untuk membunuh suaminya.

“Hey! Pesan sama Kamal Adli anjing. Aku mesti bunuh dia. Aku mesti seksa dia habis-habisan okey. Semua anjing keparat,” tulis mesej ugutan tersebut yang dikongsikan Uqasha.

Pada masa sama, Uqasha, 30, turut meminta orang ramai supaya tidak meninggalkan mesej yang boleh mengganggu emosinya berkaitan serangan yang menyebabkan suaminya mengalami kecederaan parah di kepala.

Kata Uqasha, sebagai seorang isteri, dia berasa sangat trauma atas apa yang berlaku lebih-lebih lagi kejadian tersebut terjadi di depan matanya.

“Kalau tak ada benda elok atau baik nak cakap, jangan kata apa-apa. Suami aku berdarah-darah depan mata aku.

“Aku isteri, aku trauma dan menggigil. Tolong jangan komen benda bodoh,” ujarnya kesal.

Terdahulu, Uqasha memuat naik video pendek dalam Instagram memaparkan dirinya sedang menangis di hospital berkongsi keadaan terkini dan memohon doa daripada orang ramai buat suaminya.

Kamal juga terpaksa ditidurkan bagi menjalani satu pembedahan major pada kepada selepas diserang seorang individu tidak dikenali ketika berada di sebuah acara jualan di Singapura.

Difahamkan Uqasha dan Kamal masih berada di Kota Singa itu untuk rawatan dan siasatan polis sebelum dibenarkan pulang ke Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI