BACHOK – Seorang kanak-kanak ditemui lemas selepas dipercayai ditarik ombak besar ketika mandi-manda bersama lima rakan termasuk dua sepupunya di Pantai Damat di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa, Wan Muhamad Afiq Daniel Wan Nasir, 11, dijumpai oleh seorang wanita Asimah Abdul Manaf,30, yang berada di kawasan tepi pantai yang melihat rakan-rakannya melambai tangan meminta pertolongan.
Ibu saudara mangsa, Aminah Abdul Ghani, 47, berkata, Wan Muhamad Afiq Daniel dipercayai pergi ke pantai itu untuk mandi bersama dua anaknya yang berusia 14 dan sembilan tahun bersama tiga lagi rakan mereka.
Menurutnya, mangsa yang berasal dari Kampung Chepa, Binjai di sini tinggal di rumahnya yang terletak berhampiran pantai tersebut sejak cuti sekolah bermula hujung bulan lalu.
“Ketika kejadian, saya sedang bekerja di Padang Tembak dan terus bergegas pulang selepas menerima panggilan daripada anak lelaki yang berusia 27 tahun.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, saya dapati Wan Muhamad Afiq Daniel sudah meninggal dunia selepas dipercayai lemas di pantai itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian sebentar tadi.
Menurutnya, dua orang anaknya dan tiga rakan lain turut lemas akibat ditarik ombak semasa mandi di pantai itu, namun mereka sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke kawasan cetek.
Sementara itu, datuk kepada Wan Muhamad Afiq Daniel, Ariffin Saamah, 72, berkata, cucunya itu bermalam di rumahnya hampir setiap hari sepanjang cuti persekolahan kali.
Menurutnya, dia sudah melarang cucunya itu agar tidak mandi atau bermain di Pantai Damat di sini kerana ombak besar kerap berlaku di kawasan tersebut ketika ini.
“Difahamkan, Wan Muhamad Afiq Daniel bermain bola di tepi pantai bersama rakan-rakannya. Saya tidak sedar dia mandi di pantai sebelum ada penduduk memaklumkan cucu saya lemas di pantai itu.
“Saya tidak menyangka gurauannya untuk pergi buat selama-lamanya setiap kali sebelum tidur di rumah saya sejak kebelakangan ini menjadi kenyataan apabila dia lemas di Pantai Damat hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin ketika ditemui di lokasi kejadian mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE