fbpx

Boleh berbeza pendapat tapi hormati keputusan parti – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid berucap pada Majlis Pengenalan Calon-Calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib-Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Peringkat Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan beliau mengamalkan dasar meraikan perbezaan pendapat tetapi pada masa yang sama menghormati keputusan yang telah dibuat oleh parti.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pendirian itu dipegang olehnya termasuk kepada mereka yang secara nyata atau tersembunyi tidak bersetuju dengannya.

“Perbincangan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) adalah proses membuat keputusan sama ada untuk bersetuju atau tidak bersetuju dalam sesuatu perkara.

“Jangan sampai sebelum keputusan dibuat maklumat telah sampai di luar. Ini cukup tidak baik kerana setiap ahli MT, sama ada yang dipilih, dilantik atau yang turut hadir, telah mengangkat sumpah menyimpan rahsia,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengenalan Calon-calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) peringkat negeri di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau tidak pernah membalas dendam dengan mengenepikan individu yang tidak bersetuju dengannya daripada dilantik ke jawatan tertentu.

“Saya buktikan dalam banyak kali PRK (pilihan raya kecil), PRN (pilihan raya negeri) atau PRU (pilihan raya umum), seseorang yang tidak bersetuju dengan saya, tidak pernah berjumpa dengan saya, tulis macam-macam tetapi saya tetap beri peluang. Saya cukup sabar melihat kerenah di keliling saya atau di luar. Saya memerhatikan setiap tindak tanduk semua pihak,” ujarnya.

Beliau juga berharap pemimpin yang dipilih dalam pemilihan parti kali ini tidak lagi mengaitkan diri dengan pihak yang mahu memusnahkan UMNO.

“Kalau kita telah menang, jangan lagi bersekutu dengan pihak yang menjadi gunting dalam lipatan di dalam parti atau pun menjadi api dalam sekam. Cukup lah dengan apa yang telah berlaku sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, pemilihan kali ini adalah seperti antara adik beradik yang sedarah dan sedaging dengan mengelak perbuatan yang melampaui batas.

Jelasnya, parti akan menerima sesiapa sahaja yang menjadi pilihan oleh ahli dengan tekad untuk mengukuh dan menjadikan UMNO kembali relevan kepada masyarakat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI