KUALA TERENGGANU – Bantuan banjir buat mangsa di Terengganu yang sepatutnya diagihkan pada bulan ini, sekali lagi ditangguhkan ke April depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kelewatan itu disebabkan proses pemutihan penerima bantuan berkenaan masih belum selesai sepenuhnya.
“Seperti dimaklumkan sebelum ini, pengagihan bantuan banjir terpaksa ditangguhkan ekoran keraguan dalam sebahagian permohonan diterima.
“Antaranya pertindihan permohonan suami dan isteri di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) berlainan malah ada yang memohon walaupun rumah mereka tidak terjejas dengan banjir,” katanya, di sini hari ini.
Kosmo! 20 Februari lalu melaporkan kerajaan negeri Terengganu terpaksa menangguhkan sementara pengagihan bantuan tersebut yang sepatutnya dilunaskan awal Februari lalu bagi disemak kesahihannya.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dianggarkan daripada kira-kira 29,000 permohonan diterima daripada keluarga terjejas banjir tersebut, hampir 3,000 meragukan dan perlu disemak kesahihannya.
Hanafiah berkata, semakan akhir penerima sedang dilakukan melibatkan pelbagai agensi seperti jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung, Jabatan Kebajikan Masyarakat, pejabat tanah dan daerah serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. – KOSMO! ONLINE