SAN FRANCISCO – Pemberi pinjaman perniagaan, Silicon Valley Bank (SVB) milik SVB Financial Group menjadi bank terbesar mengalami kegagalan sejak krisis kewangan global berlaku pada 2008, dalam kejatuhan mendadak yang menggemparkan pasaran dengan wang berbilion-bilion dolar milik syarikat dan pelabur terjejas, lapor portal berita PBS kelmarin.
Pengawal selia perbankan negeri California menutup bank itu pada Jumaat lalu dan melantik Perbadanan Insurans Deposit Persekutuan (FDIC), sebagai penerima hasil jualan aset SVC yang akan dilupuskan.
Pejabat utama dan semua cawangan bank itu akan dibuka semula pada 13 Mac ini dan semua pendeposit yang diinsuranskan akan mempunyai akses kepada deposit masing-masing selewat-lewatnya pagi ini.
Berdasarkan peraturan kewangan semasa, simpanan berjumlah AS$250,000 (RM1.12 juta) untuk setiap akaun pendeposit dijamin akan dipulangkan.
Bagaimanapun, sebanyak 89 peratus daripada deposit berjumlah AS$175 bilion (RM790.91 bilion) dalam SVC tidak diinsuranskan pada penghujung 2022, demikian menurut FDIC.
Pihak FDIC pada masa sama, bertungkus lumus untuk mencari bank lain yang sanggup mengambil alih SVC.
Walaupun FDIC berharap dapat mencapai penggabungan sedemikian menjelang hari ini untuk melindungi wang deposit yang tidak bercagar, namun tiada sebarang kepastian dicapai setakat ini.
Jurucakap FDIC tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen tentang krisis keruntuhan itu.
Secara berasingan, pihak SVB Financial bekerjasama dengan bank pelaburan Centerview Partners dan firma guaman Sullivan & Cromwell untuk mencari pembeli bagi aset-asetnya yang lain termasuk bank pelaburan SVB Securities, pengurus kekayaan Boston Private dan firma penyelidikan ekuiti MoffettNathanson, kata sumber tersebut
Jualan aset-aset itu boleh menarik penyertaan pesaing dan firma ekuiti swasta lain, tambah sumber sama.
Masih tidak jelas sama ada terdapat pembeli yang akan meningkatkan pembelian aset bank SVB sebelum induknya, SVB Financial memfailkan pengisytiharan muflis terlebih dahulu.
Agensi penarafan kredit S&P Global Ratings menyatakan pada Jumaat lalu bahawa pihaknya tidak menjangka SVB Financial akan muflis kerana liabilitinya, namun enggan mengulas lanjut.
Antara punca keruntuhan SVB termasuk tindakan kerajaan Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah dan situasi pelaburan yang malap dengan ramai pelabur enggan mengambil risiko membuat pelaburan kerana ‘wang menjadi terlalu mahal’.
Bank-bank AS telah kehilangan lebih AS$100 bilion (RM451.95 bilion) dalam nilai pasaran saham sejak beberapa hari lalu dengan bank-bank Eropah kehilangan sekitar AS$50 bilion (RM225.97 bilion) lagi, menurut pengiraan Reuters. – Agensi
.