fbpx

‘Artis perlu maklumkan kepada Seniman untuk ke luar negara’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SENIMAN turut mengesyorkan agar artis yang mahu menyertai apa-apa aktiviti di luar negara mengupah pengawal peribadi untuk menjaga keselamatan ketika berada di tempat orang.

PETALING JAYA – Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi menyifatkan insiden berdarah yang menimpa pelakon Kamal Adli sewaktu menyertai Singapore Expo Hall malam semalam sebagai satu kejadian sangat membahayakan. 

Justeru, Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 43, mengesyorkan kepada mana-mana artis yang ingin melakukan aktiviti di luar negara agar memaklumkan kepada pihak Seniman. 

Hal ini kerana ujarnya, Seniman bersedia untuk memberikan bantuan awal kepada artis jika terlibat dalam apa jua permasalahan dan kemalangan selain tindakan daripada kerajaan atau pihak berkuasa.   

“Kami akan membantu yang mana termampu sama ada berhubung dengan konsulat di sana atau ambil tahu maklumat terbaharu tentang keadaan di situ.

“Apa sahaja aktiviti artis ke luar negara kalau maklumkan kepada Seniman adalah lebih baik kerana sekurang-kurangnya kami tahu tindakan atau bantuan seterusnya yang perlu diambil melalui persatuan dan juga pihak kerajaan di mana-mana negara,” katanya ketika dihubungi oleh Kosmo! Online sebentar tadi.

Kejadian menimpa Kamal, 37, mendorong Seniman melakukan penambahbaikan dalam aspek menjaga keselamatan artis terutamanya bagi yang ingin berkunjung ke luar negara atas urusan kerja. 

“Selepas ini mungkin Seniman akan menghasilkan borang yang mana artis-artis perlu isi jika ada kerja di luar negara.

“Kami akan buka satu fail khas untuk artis yang bekerja di luar negara sekurang-kurangnya kami ambil maklum tentang selebriti. 

“Kalau jadi apa-apa, kami boleh bantu jika dihubungi. Daripada aduan yang dibuat, kami boleh bantu melalui kedutaan Malaysia,” ujar Zed.

Dalam pada itu, Zed meninggalkan pesanan kepada artis untuk kurang memuat naik hantaran dalam sosial media kerana perkara tersebut mendorong orang awam melakukan serangan. 

“Nasihat saya jangan terlalu menunjuk-nunjuk tentang kehidupan dalam sosial media kerana kita tidak tahu ada orang taksub dengan kita. Sampai tahap upah orang untuk pukul, bagi saya dia bukan seorang ‘gentleman’ (lelaki budiman). 

“Kalau boleh pihak negara Singapura dapat mengambil tindakan paling tegas dan berat kepada orang sebegini. 

“Tidak sangka negara yang paling selamat boleh berlaku macam ini sehingga buatkan pelancong takut mengunjungi negara terbabit,” ujar pelakon filem Sembilu itu.

Malam semalam, dunia hiburan dikejutkan dengan insiden menakutkan yang menimpa Kamal di Singapore Expo Hall ketika dia bersama isteri, Uqasha Senrose menyertai acara jualan di sana.

Dalam kejadian pada hari terakhir ekspo tersebut, Kamal dipukul berkali-kali oleh seorang lelaki warganegara Singapura tidak dikenali menggunakan chota iaitu kapak India dengan pemegang panjang pada bahagian kepala, mata dan badan.

Akibatnya, pelakon itu yang mengalami banyak pendarahan terpaksa ditidurkan untuk pembedahan, namun dia dilaporkan sudah sedarkan diri. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI