JELAS terpancar ‘euphoria’ pada wajah manis Annur Qaisara Che Muhamad saat membuka bicara berkenaan impiannya untuk menabur bakti dalam bidang kejururawatan.
Sejak cita-cita tersebut mula tertanam dalam jiwanya pada usia 14 tahun, gadis dari Kajang, Selangor itu tidak pernah sesekali meragui haluan kerjaya pilihannya.
Sama seperti tokoh kejururawatan dunia, Florence Nightingale yang meninggalkan sumbangan besar dalam bidang itu, gadis tersebut ingin terus menimba ilmu sehingga menjadi jururawat dengan kepakaran khas.
Untuk sampai ke tahap itu, pelajar Program Diploma Kejururawatan Kolej Sains Kesihatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tersebut perlu menggenggam segulung ijazah doktor falsafah (PhD).
“PhD dalam bidang kejururawatan ada banyak cabang. Seseorang itu boleh jadi pengajar akademi kejururawatan, pengkaji kejururawatan atau jururawat dengan kepakaran khas.
“Saya mahu jadi jururawat dengan kepakaran khas. Saya meletakkan barisan tenaga pengajar di universiti sebagai idola.
“Mereka merupakan contoh nyata bagaimana seorang jururawat boleh naik ke peringkat lebih tinggi sama seperti profesion lain,” jelasnya.
Kongsi anak kedua daripada tiga beradik itu, minatnya terhadap bidang kejururawatan semakin mendalam setelah dia menghabiskan masa membaca buku-buku tulisan Dr. Fatin Liyana Asri, Dr. Anwar Fazal dan Dr. Beni Rusan.
Tambahnya, penulisan ahli-ahli perubatan tersebut menyuntik rasa ingin tahu yang membuak-buak sehingga mendorongnya melakukan lebih banyak pembacaan menerusi internet.
Dari situ, gadis yang mesra disapa Annur itu menemui pempengaruh bidang kesihatan dari serata dunia.
Annur menjadikan mereka sebagai sumber inspirasi bagi meneruskan cita-cita dalam bidang yang memerlukan tahap kesabaran tinggi itu.
“Bahan bacaan saya pada waktu sekolah menjurus kepada bidang perubatan seperti Diagnosis, Diagnosis 2, Apokalips dan sebagainya. Tapi saya lebih tertarik pada skop kerja jururawat berbanding seorang doktor.
“Saya turut mengagumi pempengaruh bidang kesihatan Amerika Syarikat, Wali Khan.
“Perkongsian perjalanan kariernya dalam media sosial membuat saya mahu pergi jauh dalam bidang ini,” tuturnya.
Gadis berusia 22 tahun itu juga masih mempraktikkan teknik law of attraction yang pernah dipelajari daripada seorang penceramah pada satu kem motivasi ketika sekolah menengah.
Berdasarkan teknik tersebut, kualiti pemikiran seseorang itu akan mempengaruhi tindakannya, sekali gus membawa kepada hasil yang diidamkan.
“Pada usia 14 tahun, saya edit gambar seorang jururawat dengan meletakkan gambar muka saya di atasnya lalu menampal gambar itu pada pintu almari.
“Setiap hari saya melihat diri saya sebagai seorang jururawat sehinggalah saya tamat sekolah menengah.
“Alhamdulillah, saya sekarang pelajar kejururawatan di sebuah universiti awam terkemuka,” ujarnya dengan nada ceria.
Tambah Annur, sokongan ibu bapa yang tidak berbelah bagi menaikkan lagi semangatnya untuk terus membuktikan kemampuan diri agar mampu membalas jasa mereka pada satu hari nanti.
Demi memastikan kemahirannya terus dapat diasah, Annur menggunakan masa lapangnya untuk melakukan kerja sukarela sama ada secara bersendirian atau bersama rakan universiti.
“Secara individu, saya gemar menawar diri untuk membantu warga emas. Misalnya, menjaga ibu kepada rakan bapa.
“Jadi, saya tolong jaga ibu mereka dengan melakukan aktiviti harian seperti mandi dan bagi ubat.
“Ini membantu saya agar tidak kekok dalam melakukan pekerjaan di dunia sebenar nanti.
“Bersama rakan-rakan pula, kami lakukan khidmat masyarakat dengan mengajar tentang penjagaan kesihatan di Rumah Anak Yatim dan Asnaf Baitun Nurrawdhah.
“Program kami ini dijayakan dengan bantuan dan sumbangan Pertubuhan Pembangunan Islam Sabah serta Boss James Group Sdn. Bhd.,” katanya menggulung bicara.