fbpx

Tinggal bersama timbunan sampah di dalam rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DIANGGARkan terdapat 1,500 kotak sisa piza di dalam rumah berkenaan.

SUDAH menjadi rutin harian buat Joe Cole sebagai pembersih profesional menerima tempahan daripada pelanggan yang mahu kediaman mereka dibersihkan.

Bagaimanapun, pada September tahun lalu, Cole menerima satu tempahan pembersihan rumah yang tidak mungkin dilupakannya.

Syarikatnya yang bernama JGD Pro Solution dipanggil untuk menyelesaikan masalah bau busuk di kawasan hartanah berhampiran Southampton di Hampshire, England.

Ketika Cole dan pasukan pembersihannya tiba di lokasi dinyatakan, mereka disambut oleh bau busuk sampah sarap yang membanjiri setiap inci ruangan rumah pangsa satu bilik berkenaan.

Anggaran 1,500 kotak sisa piza ditimbunkan dalam bilik tidur dan bilik air sehingga menjadikan ruang tersebut tidak boleh digunakan lagi.

Lebih parah, penghuni kediaman tersebut turut membuang gulungan tisu tandas dan sisa tulang ayam merata tempat di dalam rumah pangsa berkenaan.

Tidak menduga akan menghadapi situasi rumah sekotor itu, Cole menyifatkan hari tersebut sebagai terburuk sepanjang kariernya sebagai pembersih profesional.

“Kami tidak dapat buka pintu hadapan rumah ini sepenuhnya. Kami terpaksa berasak-asak untuk masuk ke dalam rumah tersebut sehinggalah dikeluarkan beberapa sampah dari rumah itu.

“Rumah itu bagaikan tapak pembuangan sampah yang dipenuhi dengan pelbagai jenis sampah. Antaranya seperti kotak piza, tulang ayam, tisu tandas dan semua sampah yang anda boleh bayangkan,” katanya yang berkongsi cerita bersama media, baru-baru ini.

Melihat kepada keadaan dalam rumah itu, Cole menggelar penghuni rumah berkenaan sebagai ‘hantu’ piza yang banyak menghabiskan duit dengan membeli makanan secara penghantaran ke rumah.

BILIK air rumah tersebut turut dipenuhi sampah sarap.

Cole turut merasakan bahawa penghuni rumah pangsa berkenaan sudah lama tidak mandi berdasarkan keadaan bilik airnya yang dipenuhi sampah sarap.

“Timbunan kotak piza sudah setinggi tiga per empat dinding rumah. Saya rasa dia duduk di tengah-tengah ruang tamu sambil dikelilingi ‘dinding’ kotak piza.

“Dia pasti sangat busuk setelah tidak mandi selama berbulan lamanya. Sinki dapur juga penuh dengan sampah dan tidak dapat digunakan lagi,” ujarnya.

Menggelarkan dirinya sebagai clutter king (raja kekusutan), Cole memulakan perniagaannya enam tahun lalu dengan menumpukan kepada tempahan pembersihan rumah secara domestik.

Kini, khidmatnya ditagih oleh majlis tempatan dan persatuan perumahan yang mengikat kontrak bersamanya bagi memastikan kawasan perumahan mereka bebas daripada kekotoran.

Mengulas lanjut, Cole turut mendedahkan bahawa penghuni tersebut tinggal bersendirian dalam timbunan sampah yang dikumpul selama tiga tahun semenjak tempoh sekatan pergerakan Covid-19 di negara itu.

Hasilnya, bau busuk menusuk segenap ruang rumah berkenaan sehingga menyebabkan jiran sebelah rumahnya terpaksa melaporkan isu tersebut.

Mereka mendesak kerja-kerja pembersihan dilakukan segera.

“Penghuni rumah ini sedar dengan situasi dirinya.

“Tapi saya rasa dia sudah sampai satu tahap yang mana dia terlalu malu untuk meminta bantuan. Dia tidak berhubung dengan ahli keluarganya dan tidak membenarkan sesiapa masuk ke dalam rumahnya itu.

“Sewaktu kami tiba, tingkap sudah dibuka bagi melancarkan pengaliran udara. Jadi, saya yakin sebelum itu, bau dalam rumah tersebut lebih teruk,” jelasnya,

Cole bersama empat pekerjanya memerlukan masa tiga hari untuk membersihkan timbunan sampah dari rumah pangsa berkenaan.

Mereka membawa sampah itu ke pusat sisa komersial dan kitar semula untuk dilupuskan.

Biarpun tugasnya itu mencabar dan memerlukan kesabaran tinggi, Cole tetap berbangga dengan profesion itu kerana memberi impak positif kepada masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI