KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga ikan darat berdepan detik cemas apabila tangan kanannya digigit seekor anak buaya di kawasan paya di Padang Papan, Manir di sini pada kelmarin.
Kejadian pada pukul 7.25 malam itu menyebabkan tangan mangsa, Che Man Zakaria, 61, yang digigit haiwan reptilia tersebut menerima 12 jahitan.
Menceritakan detik cemas tersebut, Che Man memberitahu, sewaktu kejadian, dia yang melakukan rutin menangkap ikan di paya berkenaan sedang mengambil wuduk untuk menunaikan solat maghrib.
“Sewaktu saya mencangkung untuk mengambil wuduk tiba-tiba seekor buaya dipercayai spesies tembaga seberat lebih 50 kilogram menyambar tangan kanan saya.
“Ia menyebabkan saya turut terjatuh ke dalam paya berkenaan yang sedalam kira-kira 1.7 meter,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kebor Besar, Manir di sini hari ini.
Che Man berkata, dia bernasib baik buaya sepanjang dua meter itu melonggarkan gigitannya yang membolehkan dirinya kembali berenang naik ke tebing paya untuk menyelamatkan diri.
“Saya kemudiannya menggagahkan diri dalam keadaan tangan kanan berlumuran darah untuk menunggang motosikal pulang ke rumah.
“Salah seorang anak selepas itu telah membawa saya ke Klinik Kesihatan Manir di sini sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk menerima rawatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.