NAMANYA cantik, secantik orangnya. Sharifah Rose menjadi antara pelapis masa kini yang laris diintai bakatnya oleh produser dan juga pengarah dalam bidang lakonan.
Biarpun pemilik nama lengkap Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd. Mazfira itu pernah dianggap sebagai pelakon ‘kayu’, namun gelaran itu tidak pernah sesekali membuatkan dirinya patah semangat, mahu pun mahu berundur dari bidang seni.
Jarang sekali Rose mencetuskan kisah sensasi sehingga mencalarkan namanya. Jika ada pun, hanya sekadar ‘rencah’ biasa sebagai anak seni, lebih-lebih lagi dengan keadaan dirinya sebagai pelakon muda berhijab.
Ketika sayap seninya berkembang, Rose boleh dikatakan bijak memerhati keadaan sekeliling agar setiap tindakan yang dilakukan tidak akan mencalarkan nama baiknya sebagai seorang gadis yang digambarkan bersopan santun.
Hanya baru-baru ini, nama Rose kembali menjadi sebutan netizen. Masing-masing berasa janggal melihat si manis berhijab itu bersalaman dengan seorang selebriti lelaki yang juga penyanyi terkenal dari Thailand, Bright Vachirawit.
Dek tindakan yang dianggap ‘jahil’ itu, Rose telah dikecam hebat peminat yang mempertikaikan tindakannya sebagai seorang wanita Muslim berhijab.
Enggan memperbesarkan isu, pelakon berusia 25 tahun itu mengakui terpaksa bersalaman dengan penyanyi itu kerana enggan menunjukkan reaksi biadab terhadapnya apabila bertemu di sebuah majlis baru-baru ini.
Kata Rose, pada mulanya dia hanya melambai sebelum Bright menghulurkan tangannya untuk bersalaman bagi menyambut lambaiannya.
“Ketika itu saya hanya lambai sahaja, tetapi dia (Bright) hulur tangan untuk bersalaman.
“Saya rasa agak biadab jika tidak menyambut salamnya.
“Mungkin dia tidak tahu budaya kita. Jadi saya sambut tangan dia sebagai tanda menghormatinya,” kata Rose.
Ujar pelakon drama Kekasih Hati Mr. Bodyguard itu lagi, dia tidaklah melebih-lebih ketika bersalaman dengan penyanyi berusia 25 tahun itu sehingga kelakuannya perlu diperbesar-besarkan.
“Saya pun tidaklah berlebih-lebihan. Saya sambut tangannya pun sebab dia hulur,” katanya.
Terbiasa dengan sikap netizen yang sentiasa ingin mempertikaikan apa sahaja dirasakan tidak kena pada mata mereka, Rose sebenarnya okey dikecam.
“Saya rasa, biasalah netizen. Semua benda nak dipertikaikan. Perkara itu tidak berlebih-lebih, hanya salam sebab menghormati saja,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Rose merancang untuk menghabiskan segala komitmen kerja berehat daripada berlakon dan memberi fokus pada ibadah puasa menjelang Ramadan yang bakal disambut 23 Mac nanti.
Dia juga mahu memberi tumpuan terhadap perniagaan tudungnya untuk koleksi hari raya dan mengakui agak kelam-kabut kerana terpaksa membuat persiapan pada saat-saat akhir.
“Untuk bulan puasa tahun ini, saya akan fokus pada bisnes tudung untuk raya, Tahun ini raya agak awal, jadi semuanya kelam-kabut.
“Lakonan pula, sepanjang Ramadan ini saya akan berehat sebentar untuk memberi fokus pada ibadah puasa selain daripada bisnes.
“Saya baru sahaja selesai penggambaran sebuah drama bersiri. Mungkin akan disiarkan sekitar pertengahan bulan Mac ini menerusi TV3,” kata Rose.