LONDON – Pasukan Aprilia dilihat bersedia untuk memulakan perjalanan mereka menjelang Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2023 selepas memperkenalkan jentera RS-GP23 secara rasmi kelmarin.
Aprilia yang diperkuat dengan dua pelumbanya terbaik, Aleix Espargaro dan Maverick Vinales, optimis mahu melakukan yang terbaik selepas pasukan itu menampilkan aksi memukau pada musim lalu.
Justeru, bagi menghadapi bahang tekanan musim ini, Aprilia memperincikan pembangunan jentera RS-GP23 dengan penambahbaikan menyeluruh untuk memastikan mereka mampu memberi tentangan terutama mengatasi kehebatan Ducati.
Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia Racing, Massimo Rivola dilihat tidak sabar memulakan saingan 2023 selepas kerja keras pada aksi pramusim dan turut membawa kelainan terutama kehadiran pasukan satelit, RNF Racing.
“Tidak dapat dinafikan terdapat peningkatan pada jentera baharu ini. Pasukan sentiasa ingin melakukan yang lebih baik selepas menampilkan aksi cemerlang musim lalu. Jadi, musim ini kami perlu bekerja keras dan memperoleh keputusan lebih baik berbanding musim lalu.
“Kami boleh katakan tahun ini adalah usaha berganda kerana kami mempunyai empat jentera di litar yang akan memberikan banyak manfaat.
“Pastinya tahun ini sedikit mencabar dan setiap orang akan menghadapi tugas lebih banyak terutamanya untuk pelumba kerana mereka akan menghadapi 42 perlumbaan selepas acara Sprint Race diadakan,” katanya.
Pada musim lalu, Aprilia melakar satu kemenangan dan lima podium tempat ketiga menerusi Espargaro, sekali gus menjadi panduan kepada mereka musim ini. – AGENSI