PETALING JAYA – Seorang pengguna Facebook yang menggunakan akaun Ly Jeff, meluahkan rasa kecewa terhadap perkhidmatan di sebuah pejabat kebajikan daerah di Sabah kerana kehadirannya tidak dilayan oleh kakitangan bertugas.
Menurut pengguna tersebut, kedatangannya ke pejabat itu adalah untuk mengambil borang, namun terkejut apabila keadaan di luar pejabat seolah-olah tidak beroperasi kerana sebahagian pintu ditutup selain suasana di dalam gelap meskipun sudah pukul 9.30 pagi.
“Jam 9.30 pagi masih macam ni (shutter premis ditutup separuh). Sekali saya buka pintu, lampu tak dinyalakan dan mereka (kakitangan) bekerja dalam keadaan gelap. Ada seorang kakitangan di kaunter dan orang awam sedang berususan.
“Saya anggap sajalah mungkin bekalan elektrik terputus dan sebab itu mereka bekerja dalam keadaan gelap. Berbeza dengan pejabat lain yang sudah terang-benderang pada waktu ini,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik pada Jumaat lalu.
Lebih mengecewakan apabila pengguna tersebut meminta borang daripada kakitangan di kaunter, namun tidak dilayan dengan baik.
Katanya, salah seorang daripada mereka meminta dia untuk pulang sahaja kerana segala urusan di pejabat adalah untuk pelanggan yang telah membuat temu janji.
“Takkanlah ambil borang pun tidak boleh? Kesian orang yang datang jauh-jauh semata-mata nak pergi ke sini. Sekali diberi layanan yang tidak bertimbang rasa. Lainlah kalau memang sibuk sangat, berderet-deret orang datang mengikut temu janji.
“Cubalah ubah masa kerja wahai pejabat kebajikan Daerah Kota **. Kalau tak reti nak mudahkan urusan orang, jangan susahkan orang. Kesian orang tua yang mahu berurusan.
“Sekadar bagi borang apalah yang menyulitkan. Orang kampung ini bukan datang ke sana untuk meminta sedekah. Kerja biarlah jujur dan jangan makan gaji buta,” luahnya.
Dalam pada itu, perkongsiannya menjadi tular di media sosial, dan ramai yang memberi reaksi terhadap perkara tersebut.
“Betul la tu, pejabat kerajaan kata sahaja buka pukul 8 pagi, bila kita hubungi satu hari langsung tidak ada yang angkat, baik tak perlu sediakan nombor khidmat pelanggan, kalau tiada satu orang yang ambil tanggungjawab untuk angkat panggilan pelanggan,” luah seorang pengguna Facebook. – KOSMO! ONLINE.