fbpx

Penternak lembu dicekup terlibat kegiatan edar pil kuda, ganja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (tengah) menunjukkan pistol jenis Semi Automatik dan kelopak yang dirampas dalam serbuan di sebuah bangsal pada sidang akhbar di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini. - Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZZAMAN / KOSMO!

KOTA BHARU – Seorang penternak lembu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dicekup memiliki sepucuk pistol dan sembilan butir peluru hidup dalam serbuan di sebuah bangsal di tepi sebuah rumah di Taman Desa Rahmat di sini pada Khamis lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 9.48 malam itu, polis turut merampas 600 biji pil kuda, ganja dan air ketum yang dianggarkan berjumlah RM6,315.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sepasukan anggota polis menjalankan serbuan bangsal itu selepas menerima maklumat sebelum mendapati suspek yang berusia 27 tahun berada di kawasan tersebut.

Menurutnya, suspek bertindak melarikan diri dengan mencampak sesuatu di kawasan tersebut, namun lelaki itu kemudiannya berjaya ditahan.

“Pemeriksaan di kawasan bangsal itu menemui sepucuk pistol jenis Semi Automatik dan kelopak mengandungi sembilan butir peluru hidup bersaiz 9 milimeter (mm).

“Selain itu, anggota polis turut menjumpai 600 biji pil kuda, 5.7 gram ganja dan 0.5 liter air ketum,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, polis turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan motosikal dalam serbuan tersebut.

Katanya, hasil semakan mendapati, suspek mempunyai dua rekod lampau berkait Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Tambahnya, suspek direman selama tujuh hari bermula kelmarin untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Akta Senjata Api 1960. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI