fbpx

Pengusaha ikan kering terkesan, hasil laut berkurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIAH menunjukkan ikan kering yang hampir sempurna dikeringkan di Kampung Sungai Baru dekat Kuala Perlis semalam.

KUALA PERLIS – Ketiadaan bekalan hasil laut terutama ketika monsun timur laut bukan sahaja memberi kesan kepada nelayan bahkan turut menggusarkan pengusaha ikan ke­ring di sekitar Kuala Sungai Baru, dekat sini.

Pengusaha ikan kering, Nor Aishah Dahari, 36, berkata, sebelum monsun timur laut melanda, bekalan ikan sangat banyak dan mampu memproses sehingga 400 kilogram (kg) ikan sehari dan lebih 5 tan sebulan.

“Kini apabila musim monsun timur laut, kami hanya peroleh bekalan ikan antara 30 hingga 40kg sehari. Hampir 90 peratus penurunan bekalan ikan segar daripada nelayan setempat,” katanya ketika ditemui di Kampung Su­ngai Baharu di sini semalam.

Katanya, disebabkan bekalan ikan segar seperti gelama dan kembung tidak mencukupi, dia bersama suaminya terpaksa mencari bekalan sehingga ke Kuala Kedah.

Buat masa ini mereka hanya memproses ikan kering daripada ikan duri dan kebasi yang kadang kala terpaksa mendapatkan bekalan dari Kedah.

Kosmo! melaporkan keluhan nelayan yang mengalami penurunan hasil tangkapan ikan nelayan di perairan Kuala Perlis disebabkan monsun timur laut selain kerosakan ekosistem laut disebabkan penangkapan siput retak seribu.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha ikan kering, Fitri Musa, 36, berkata, pendapatan keluarganya menurun daripada RM1,000 kepada RM600 sebulan ekoran ketiadaan bekalan ikan segar.

“Kami mewarisi perniagaan ini daripada arwah ayah yang me­ngusahakannya bersama ibu, Siah Dolah, 70, sejak lebih 50 tahun lalu dan kami bergantung sepenuhnya bekalan ikan daripada nelayan sekitar kawasan ini.

“Pendapatan kami bergantung kepada bekalan ikan dari perairan di sini dan ada nelayan memberitahu bahawa tangkapan semakin menurun disebabkan kerosakan dasar laut akibat aktiviti menangkap siput retak seribu yang mengakibatkan ta­nah menjadi lembut dan busuk,” katanya yang juga pemegang kad orang kelainan upaya (OKU).

Dakwanya, komuniti nelayan turut memberitahu bahawa selain penangkapan siput retak seribu, kaedah tangkapan se­perti menggunakan pukat rawa sorong turut memberi kesan kepada populasi hidupan marin di perairan Perlis yang terhad. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI