IPOH – Penglibatan masyarakat diperlukan dalam perancangan kemajuan bandar bagi memastikan sesuatu rancangan pembangunan itu tidak berakhir sebagai ‘projek gajah putih’.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, suara rakyat ini membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) benar-benar membangun dan memajukan bandar berdasarkan keperluan rakyat.
“Sebab itu mulai tahun ini, kita tetapkan semua projek baharu di bawah KPKT, wajib untuk dijalankan ‘feasibility study’ atau Kajian Kebolehlaksanaan yang berkecuali secara profesional supaya semua projek yang bakal dilaksanakan menepati kriteria ditetapkan.
“Kajian itu perlu melibatkan rakyat, khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.
“Dengan pendekatan baharu ini, maka tiada lagi projek-projek gajah putih yang terbengkalai seperti sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2023 di Pusat Konvensyen Ipoh di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, selain Kajian Kebolehlaksanaan, KPKT juga akan mempertimbangkan projek-projek baharu melalui pelaksanaan kajian berdasarkan Pulangan Pelaburan, Analisis Kos Faedah dan Indeks Kesahan dan Kebolehpercayaan.
Katanya, dapatan kajian-kajian tersebut akan memberi fokus yang jelas dan nyata serta menghindarkan ketirisan perbelanjaan atau senario projek gajah putih. – KOSMO! ONLINE