PETALING JAYA – Jika ramai yang mempertikaikan kemampuan belia untuk bekerja dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar), pemuda yang menggunakan nama Syedlohai di TikTok ini membuktikan sebaliknya.
Menerusi video yang dikongsikan, jelas kelihatan dia tersenyum kelat sambil menahan limpahan air kumbahan yang meluncur keluar tanpa henti dari saluran ketika menjalankankan kerja-kerja penyelenggaraan paip kumbahan.
“Hidup ni keras kan. Tak semua yang kita nak kita boleh dapat dan yang kita dapat, tak seperti yang kita nak. Jadi bertenang, tarik nafas dan bangkit semula,” katanya dalam video tersebut.
Perkongsian pemuda tersebut mendapat perhatian ramai dan kebanyakannya memuji serta menyatakan rasa kagum kerana pekerjaan yang dilakukan sungguh mencabar.
“Semua pekerjaan adalah mulia. Tabik bro, semoga murah rezeki. Saya dulu semua kerja buat akhirnya Allah bagi kerja bagus dan mulia pada saya,” kata Mohd. Erwan.
“Respect (hormat) awak. Masih boleh senyum lagi, moga diperluaskan rezeki dan sihat sentiasa,” komen seorang pengguna lagi.
“Terbaik dik. Dulu arwah suami akak pun buat kerja-kerja penyelenggaraan ni juga untuk besarkan anak-anak dan tanggung keperluan,” kongsi Fida Jalil. – KOSMO! ONLINE