PUTRAJAYA – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjangkakan ribuan penduduk memanfaatkan Stesen Kajang2 yang akan dibuka secara rasmi kepada orang awam bermula esok.
KTMB dalam kenyataan berkata, pembukaan stesen tersebut juga bakal mengatasi masalah kepadatan kenderaan di Stesen Kajang yang sudah mencapai kapasiti maksimum pada hari bekerja.
“Pembukaan stesen ini mampu menangani isu kenderaan yang menggunakan bangunan parkir bertingkat di Stesen Kajang yang sering penuh diisi semua 1,180 petak,” kata kenyataan itu hari ini.
Stesen Kajang 2 ujar KTMB, direka berupaya mengendalikan 400 penumpang pada satu masa dan dibina lengkap pelbagai fasiliti di atas tanah berkeluasan hampir satu hektar.
Ini termasuk sejumlah 500 petak parkir awam yang dioperasikan oleh Srijang Kemajuan Sdn. Bhd. dengan mengenakan caj maksimum hanya sebanyak RM5.50 setiap hari.
Selain itu, KTMB turut membina empat eskalator dan jejantas pejalan kaki dengan lif bagi menghubungkan para penduduk di kawasan perumahan Seksyen 5 Bandar Baru Bangi.
Turut disediakan ialah lapan kiosk jualan untuk disewa, kawasan khas menurunkan para penumpang dan kemudahan asas termasuk tandas, surau dan platform berbumbung.
KTMB berkata, pada masa ini dua buah stesen yang berhampiran iaitu Kajang dan Bangi merekodkan jumlah pengguna masing-masing iaitu 1,328 orang 624 orang setiap hari.
“Sebanyak 46 perkhidmatan tren komuter akan beroperasi di Stesen Kajang 2 pada hari bekerja manakala 33 trip lagi akan lalu pada hari minggu dan kelepasan am,” jelasnya.
Perkhidmatan pertama berlepas dari stesen ini menuju ke KL Sentral di ibu negara ialah pada pukul 6.15 pagi sementera tren yang terakhir pula tiba pada pukul 10.43 malam.
Untuk hari-hari minggu dan kelepasan am, tren pertama berlepas menuju ke KL Sentral pada pukul 7.11 pagi manakala yang terakhir pula akan bertolak pada 10.43 malam.- KOSMO! ONLINE.