PETALING JAYA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya turut menyiasat punca dana yang diperolehi parti lain terutama melibatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan UMNO.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kelima Bersatu di Menara PGRM di Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya, SPRM tidak seharusnya menumpukan punca dana Bersatu semata-mata kerana parti lain turut menerima dana politik daripada pihak ‘tertentu’.
“Saya nak cabar SPRM untuk siasat, siasat presiden PKR dan presiden UMNO. Siasat di mana punca dana yang diterima oleh UMNO dan PKR. Di manakah sumber (dana) yang mereka perolehi.
“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Perdana Menteri dahulu juga daripada UMNO, adakah UMNO tidak menerima sumbangan politik. Begitu juga PKR di beberapa negeri, adakah parti ini tidak menerima sumbangan dana politik daripada mana-mana ahli perniagaan,” soalnya.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut mempersoalkan mengenai laporan yang dibuat oleh ahli parti yang menggesa siasatan lanjut dijalankan.
“Dah buat atau belum, atau yang disiasat hanya Bersatu sahaja. Bukankah ini pendakwaan terpilih. Sebelum pendakwaan juga, ramai termasuk media sudah tahu saya akan ditahan, seolah-olah mereka tahu saya akan didakwa. Apa maknanya ini dan adakah ia siasatan secara bebas,” katanya. – KOSMO! ONLINE.