PETALING JAYA – Selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kelmarin, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok berhubung wang dalam parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Muhyiddin akan dituduh pukul 8.30 pagi dan pendakwaan mengemukakan satu pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam jemputan kepada media hari ini memaklumkan mendapat izin mendakwa seorang Ahli Parlimen di Mahkamah Sesyen esok.
Kelmarin, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan RM232.5 juta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram RM195 juta tiga tahun lalu.
Pengakuan itu dibuat selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
Dengan enam pertuduhan tersebut menjadikan Muhyiddin yang popular digelar ‘abah’ itu merupakan bekas Perdana Menteri kedua didakwa di mahkamah selepas Datuk Seri Najib Tun Razak. – KOSMO! ONLINE