SEKALIPUN sedar kualiti yang dimiliki oleh Sabah FC, pertahanan Sri Pahang, Stefano Brundo tetap bersedia untuk mengerah kudratnya bagi memastikan kemenangan kedua di laman sendiri malam ini.
Sokongan tidak berbelah bagi yang dipamerkan ‘Pemain ke-12’ menjadi suntikan utama buat bintang import dari Argentina itu, malah merasakan kombinasi pasukannya bertambah baik terutamanya apabila meneruskan langkah dalam saingan Piala FA dengan menewaskan Perak 2-1.
“Saya begitu bangga dengan pasukan ini dan sudah pasti Sri Pahang ada harapan untuk menghadapi cabaran selepas ini. Sekarang kami kena lakukan persiapan untuk aksi seterusnya berdepan Sabah di laman sendiri.
“Penyokong kami juga sentiasa hebat, kekal penyokong pasukan walaupun di tempat lawan. Sekalipun tidak dapat ke stadium, mereka sentiasa sokong kami menerusi media sosial sama ada di Instagram, Twitter mahu pun Facebook,” katanya.
Dalam tiga perlawanan awal Liga Super, Tok Gajah yang kini dibimbing legenda Singapura, Fandi Ahmad masih belum tewas apabila menang sekali dan seri dalam dua perlawanan.
Pada aksi sulung di laman sendiri 2 Mac lalu, Sri Pahang membelasah Kelantan 4-1 diikuti seri 1-1 dengan Selangor sebelum atasi Perak di pusingan pertama Piala FA.
“Sebenarnya kami memiliki mentaliti untuk menang dalam setiap perlawanan, jadi kami juga perlu lakukan lebih baik berbanding dalam perlawanan lepas,” katanya.