fbpx

Lelaki maut, dua rakan cedera kereta terbabas langgar lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN kereta mangsa yang maut dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 77.5, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Tapah hari ini.-IHSAN PDRM

TAPAH – Seorang lelaki maut manakala dua rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 77.5, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 7.40 pagi itu, mangsa, Muhammad Khairil Aznie Bahraum, 23, dari Slim Village, Slim River maut akibat kecederaan parah.

Dua rakan sekampung, masing-masing berusia 24 dan 23 tahun cedera ringan pada bahagian kepala dan tangan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku ketika kereta jenis Perodua Myvi dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Chenderiang menuju ke Slim River.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, kereta berkenaan hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar tayar bahagian hadapan sebelah kanan lori tersebut.

“Akibat dari kemalangan itu, pemandu kereta mengalami kecederaan parah pada bahagian dalaman dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Dua penumpang kereta cedera ringan manakala pemandu lori berusia 59 tahun tidak cedera,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian sebelum dituntut keluarga.

Katanya, ketika kejadian keadaan cuaca baik dan kering dengan kemalangan berlaku di jalan sedikit berselekoh, dua hala dua lorong dan dua garisan putih berkembar di tengah jalan sebagai pembahagi lorong.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI