LONDON – Biarpun berdepan tekanan lebih tinggi berbanding musim sebelum ini, pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka merasakan seluruh pasukan itu kini sudah memiliki mentaliti luar biasa untuk cuba menyerapnya.
Menerusi kelebihan yang ada untuk membolehkan The Gunners terus memimpin carta Liga Perdana Inggeris (EPL), Xhaka menjelaskan segalanya akan bermula pada perhitungan dengan kunjungan mereka ke Craven Cottage untuk bertemu Fulham, malam ini.
“Kamu boleh lihat pasukan lain bermain dengan cara berbeza ketika menentang kami. Ada pasukan yang bermain bertahan, ada juga yang tampil dengan aksi menekan, namun ia perkara biasa apabila kami sedang berada di kedudukan teratas.
“Sudah pasti tekanan lebih tinggi berbanding sebelum ini. Namun, pada dasarnya saya fikir kami sudah lakukan tugas dengan baik dan pasukan ini memiliki mentaliti terbaik untuk mengatasi semua cabaran dihadapi.
“Dalam Liga Perdana Inggeris, tidak kira di mana sekalipun kedudukan pasukan lawan, cabarannya tetap sama. Kamu lihat kemenangan yang kami catatkan dalam perlawanan lepas dan bagi saya, selagi kami mampu dapatkan keputusan baik, tiada siapa akan bertanyakan kedudukan kami pada hujung Mei nanti,” katanya.
Selain misi memburu kejuaraan EPL, The Gunners juga masih bersaing di pentas Eropah ketika seri 2-2 dengan Sporting Lisbon pada aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Europa. – AGENSI