SUNGAI PETANI – Dua beradik etnik Rohingya ditemui lemas di kawasan lombong kuari pasir di Kampung Permatang Kedundung, Pinang Tunggal di Tikam Batu di sini hari ini.
Mangsa, Mamod Shukur Belal Hussain, 4, dan abangnya, Md. Nasim, 6, dipercayai lemas ketika mandi di lombong tersebut yang terletak berdekatan rumah mereka semalam.
Kehilangan mereka disedari oleh ahli keluarga apabila tidak pulang ke rumah selepas waktu maghrib semalam.
Mayat Mamod Shukur ditemui terapung pada pukul 8.50 pagi tadi diikuti mayat abangnya pada pukul 2.45 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan memberitahu, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 9 malam semalam sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.
“Dengan bantuan pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Kuala Muda, kita memulakan gerakan mencari dan menyelamat mangsa malam tadi, namun tidak menemui mangsa.
“Mayat salah seorang mangsa dijumpai pagi tadi manakala abangnya pula pada pukul 2.45 petang tadi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE.