WASHINGTON – Seorang wanita warga Republik Demokratik Congo (DRC) meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan yang teruk selepas mengandungkan ‘janin mati’ selama sembilan tahun, lapor akhbar Mirror UK.
Pelarian berusia 50 tahun yang baru tiba di Amerika Syarikat (AS) itu dikejarkan ke hospital selepas mengalami kekejangan dan senak perut.
Dia juga dilaporkan mengalami sensasi menggelegak di dalam ususnya selepas makan.
Doktor kemudian melakukan imbasan dan mendapati janin mati itu menyekat bahagian perut wanita tersebut dan memberi tekanan pada ususnya.
Wanita itu bagaimanapun menolak sebarang pembedahan dan mendakwa seseorang di Tanzania telah menyihirnya.
Ketika menyedari dia kehilangan bayi itu sembilan tahun lalu, seorang pegawai perubatan di kem pelarian menuduhnya melakukan ‘kerja jahat’, mengambil dadah dan membunuh bayi itu.
Ia menyebabkan wanita itu takut kepada pakar perubatan sehingga menolak sebarang rawatan.
Dia didakwa memberitahu pegawai perubatan di AS bahawa dia tidak takut mati apabila diberikan prognosis untuk rawatan.
Kira-kira 14 bulan kemudian, dia meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan.
Janin mati itu didapati menghalang ususnya daripada berfungsi termasuk menyerap nutrien penting. – Agensi