PETALING JAYA – Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) mencadangkan tempoh enam hari di Mekah sewaktu ibadah umrah dipendekkan kepada empat hari bagi mengatasi masalah hotel penginapan di Tanah Suci penuh.
Presiden PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, pihaknya turut mencadangkan dua hari berikutnya digantikan dengan bermalam di Arafah dan Mina sekali gus merasai pengalaman sewaktu musim haji.
Menurutnya, cadangan tersebut pernah diajukan kepada pihak kementerian berkaitan haji Arab Saudi memandangkan masalah hotel penginapan penuh ketika umrah bukan pertama kali, bahkan sejak 10 hingga 15 tahun dahulu.
“Baru-baru ini kementerian haji Arab Saudi datang ke sini termasuk daripada syarikat penerbangan dan industri hotel. Kita berbincang dan mereka tahu benda ini berlaku (penginapan hotel penuh ketika umrah).
“Kebiasaannya kalau umrah, enam hari di Mekah dan empat hari di Madinah. Kenapa tidak empat hari di Mekah dan satu malam masing-masing di Arafah dan Mina. Jadi ada peluang 30 peratus kapasiti hotel di Mekah yang boleh digunakan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Ujarnya, pada masa ini, jemaah umrah berduyun-duyun ke Tanah Suci dari seluruh dunia bukan sahaja jemaah dari Malaysia.
“Sekarang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah tiga tahun berlalu dan hotel-hotel kini penuh dengan jemaah seluruh dunia. Tambah lagi visa pelancong dibuka membolehkan mereka mengerjakan umrah.
“Jadi cadangan (bermalam di Arafah dan Mina sewaktu umrah) dapat menjimatkan dan bilik hotel dapat menampung jemaah. Saya pernah berbincang perkara ini dengan pihak berkuasa Arab Saudi termasuk timbalan menteri haji.
“Mereka bersetuju untuk melihat masalah yang berlaku,” katanya.
Sementara itu, Razali menjelaskan, masalah penginapan di Mekah sewaktu umrah berikutan tempahan untuk hotel perlu dibayar sepenuhnya.
“Jika tidak berbuat demikian, ia akan dibatalkan bagi memberikannya kepada mereka yang sudah menjelaskan bayaran penuh.
“Bila kita ‘booking’ tapi bayar kemudian dan tak bayar habis, mereka akan batalkan dan pulangkan deposit serta memberikan tempahan itu kepada mereka yang sudah membayar lagi tinggi.
“Itu yang harga naik mendadak sekarang ini, dia bukan ikut konsep, tapi kena bayar penuh. Kalau tidak, dia akan bagi kepada orang lain.
“Bagaimanapun, jika agensi bayar penuh dan jemaah pula tiada, mereka rugi pula dan terbeban,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE