fbpx

Rai usia 50 tahun, Che Ta hadiahkan diri banglo RM10 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHE TA tetap jelita pada usia 50 tahun.

KUALA LUMPUR: Menyambut ulang tahun ke 50 pada 9 Mac lalu, Rozita Che Wan atau Che Ta meraikan hari penuh bermakna tersebut dengan menghadiahkan diri sendiri sebuah banglo serba mewah mencecah RM10 juta di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Katanya, penantian selama empat tahun untuk mendiami kediaman berkenaan selepas menghadapi beberapa masalah termasuk kontraktor pembinaan menghilangkan diri akhirnya dapat direalisasikan serentak pada hari ulang tahun kelahirannya.

“Tak dapat saya gambarkan perasaan menyambut ulang tahun kali ini apabila dapat tinggal di rumah baharu yang sudah lama kami sekeluarga usahakan dan impikan.

“Bukan sekecil anak jumlah dilaburkan untuk rumah ini selepas ditipu dengan beberapa kontraktor pembinaan selain diuji pula fasa pandemik Covid-19 hingga proses pengubahsuaian rumah turut tertangguh lama.

“Saya bersyukur kini semuanya berakhir telah berakhir. Perasaan itu sukar digambarkan tambahan pula Ramadan dan Syawal bakal disambut tak lama lagi.

“Dapat masuk ke rumah baharu ini saya anggap hadiah paling terindah buat saya,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menurut pelakon dan usahawan itu, kediaman tersebut tidak hanya didiami bersama suami, Zain Saidin dan tiga anak, malah dia turut mengajak ibu dan ibu mentuanya tinggal sebumbung.

Akui bintang Kiah Pekasam itu, ramai dalam kalangan individu rapat dengannya termasuk suami sendiri terkejut apabila dia memaklumkan keinginan mengumpulkan keluarga besarnya dalam satu kediaman.

“Zain sendiri terkejut dan tak sangka saya nekad mengajak ibunya turut tinggal bersama kami, begitu juga rakan rapat yang bertanyakan semula perkara ini apabila saya menyatakan hasrat berkenaan.

“Mak mentua saya tinggal seorang diri selepas cucunya yang juga anak Sasha Saidin berpindah ke luar negara. Jadi saya fikir tak salah mengajaknya duduk sekali di rumah kami.

“Keadaan kesihatannya sejak kebelakangan ini pun tak bagus selepas menjalani pembedahan. Setidak-tidaknya ada yang melihat dan membantunya apabila sebumbung nanti,” katanya.

Pengasas bersama empayar perniagaan Inai Che Ta itu berkata, Zain pada awalnya bimbang ibunya boleh menjadi beban, namun dia pantas menepis tanggapan suaminya.

“Saya tak pernah berfikir begitu terhadap sesiapa pun yang berada di bawah tanggungan selama ini kerana percaya Allah memberi kita rezeki kita melalui orang lain.

“Mak pun tak cerewet dan mudah diurus. Dia tidak cerewet. Pada usia 76 tahun, dia makan apa saja yang dihidangkan. Orang tua makan banyak mana sangat pun selain dia enggan menyusahkan saya dan pembantu rumah.

“Selama ini, ketika tinggal dengan Sasha Saidin dia memang sangat kuat dan kental. Dialah yang memandu kereta menghantar cucu ke sekolah, kelas taekwondo dan membeli barangan harian.

“Tetapi sejak kesihatannya terganggu selepas terjatuh dan mengalami masalah pinggul retak hingga terpaksa jalani pembedahan, keadaannya menjadi lemah,” kongsinya lagi.

Pada masa sama Che Ta mengakui ibunya turut menyambut baik usaha mengajak mentua tinggal bersama mereka yang dikatakan boleh menjadi kawan berbual.

“Cuma lucunya, apabila ibu dan mentua bersembang, masing-masing macam ayam dan itik apabila seorang cakap Melayu, seorang lagi berbahasa Inggeris. Saya pun terhibur melihat gelagat mereka,” tambah Che Ta.

Terdahulu, aktres jelita ini meraikan hari jadinya dengan tema menuju ke syurga yang dihadiri keluarga, teman akrab dan pendakwah bebas, Ustaz Syamsul Debat di sebuah premis terkemuka di ibu kota.

Mengenai kejutan hadiah hari lahir mengerjakan umrah tajaan teman niaganya, Anas Zahrin, Che Ta belum dapat memberikan kata putus tarikh ke Tanah Suci.

“Awalnya, saya bercadang nak menunaikan umrah sewaktu sambutan ulang tahun kelahiran tahun ini tetapi tak menjadi kenyataan atas beberapa sebab.

“Mungkin masa terbaik kalau diizinkan, saya nak ajak suami ke sana pada 10 terakhir Ramadan. Harap niat itu dipermudahkan,” katanya yang turut terbabit mengacarakan program masakan, Rasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI