KUALA LUMPUR – Polis siasat ucapan terhadap pihak kerajaan seorang lelaki yang cenderung mendatangkan kegusaran awam berhampiran kawasan letak kereta luar mahkamah Jalan Duta, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sekitar pukul 5.30 petang tadi, pihaknya terkesan sebuah video di aplikasi TikTok berkenaan ucapan tersebut.
Katanya, video itu memaparkan seorang lelaki tempatan yang berdiri di atas sebuah trak pikap dengan lantang menggunakan pembesar suara menyuarakan beberapa perkara yang mempertikaikan pemerintahan kerajaan semasa.
“Siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku semasa proses pertuduhan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sedang berlangsung, semalam.
“Susulan dakwaan tersebut, kami telah membuat semakan terhadap video itu yang mana suspek dengan lantang menyuarakan berkaitan tindakan untuk menolak perkara- perkara korup,” katanya dalam kenyataan hari ini
Selain itu, suspek juga mempertikaikan tentang bajet yang tidak dikendalikan sebaiknya oleh Ahli Parlimen serta tindakan pemerintahan kerajaan semasa yang memandang remeh kebajikan bumiputera dan aspek Islam.
Menurut Eng Lai, siasatan awal mendapati ucapan individu tersebut mempunyai kecenderungan untuk memberi persepsi yang mungkin mendatangkan kegusaran kepada awam.
“Pihak polis memandang serius terhadap dakwaan itu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 serta Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Terdahulu, Ketua Penerangan Armada Nasional, Ashraf Mustaqim, dilihat memberikan ucapan di atas sebuah trak pikap di luar mahkamah Jalan Duta, di sini, semasa proses pertuduhan terhadap Tan Sri Muhyiddin dibacakan, semalam.-KOSMO! ONLINE.