PETALING JAYA – Pecca Group Berhad (Pecca) melalui anak syarikat milik penuhnya
Pecca Leather Sdn. Bhd. (PLSB) telah memeterai perjanjian pemindahan saham dengan
pelbagai pihak untuk pemerolehan 80 peratus ekuiti kepentingan dalam PT Gemilang Maju Kencana (GMK).
Nilai pemilikan tersebut adalah sebanyak IDR 6.4 bilion (kira-kira RM1.87 juta) dan setelah selesai pengambilalihan, PLSB akan menyuntik IDR 2.4 bilion (kira-kira
RM703.2 ribu) lagi.
Menurut pemfailan di Bursa Malaysia di sini semalam, perjanjian itu ditandatangani antara PLSB, PT Multi Berjaya Asindo (MBA) dan CSC Automotive Sdn Bhd (CSC Automotive).
Ketua Pegawai Eksekutif Pecca Group, Foo Ken Nee berkata, melalui perjanjian pemindahan saham itu, pihaknya mengambil langkah penting ke arah mencapai matlamat strategik untuk mengembangkan kehadiran antarabangsa Pecca.
Pengambilalihan ini mewakili peluang penting bagi Kumpulan untuk
menembusi dan mewujudkan diri dalam pasaran Indonesia seterusnya untuk merealisasikan perjanjian ini untuk kejayaan jangka panjang.
“Memandangkan Pecca terus mengembangkan kehadiran antarabangsanya dalam industri automotif, Indonesia bersedia untuk menjadi pemacu utama pertumbuhan kami.
“Kehadiran fizikal kami yang akan datang di negara ini meletakkan kami untuk trajektori pertumbuhan yang lebih tinggi, kerana Indonesia pada masa ini mempunyai angka jualan kenderaan tertinggi dari mana-mana pasaran Asia Tenggara.
“Data pasaran terkini menunjukkan bahawa jualan kenderaan Indonesia bagi tempoh Januari-Ogos 2022 mencapai 658,232 unit, mengatasi Thailand dan Malaysia dalam tempoh yang sama,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau teruja untuk memanfaatkan peluang keemasan ini untuk meluaskan jangkauan dan mengukuhkan kedudukan pasaran di rantau ini. -KOSMO! ONLINE