ALOR GAJAH – Kementerian Pertahanan melalui Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) akan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terkesan akibat banjir di Johor.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, Pernama akan menyalurkan bantuan keperluan terutama barangan elektrik dan membaik pulih rumah terjejas.
Menurutnya, kementerian sedang mengenal pasti jumlah veteran terlibat dan jumlah kerugian ditanggung, sebelum Pernama menghulurkan bantuan berkenaan.
“Sewaktu saya melawat mangsa banjir di Kluang, Johor saya sempat bertemu dengan veteran ATM dan kita beri sumbangan akibat kerugian yang ditanggung mereka.
“Selain itu, kita sedang memantau golongan ini dan bersedia membantu mereka melalui beberapa skim melalui Pernama iaitu menggantikan kelengkapan rumah termasuk barangan elektrik dan kerja-kerja membaik pulih rumah yang rosak,”katanya kepada pemberita selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Freeport A’ Famosa Outlet di sini, hari ini.
Seramai 200 murid tahun satu sesi 2023/2024 dari Parlimen Alor Gajah menerima beg sekolah, kasut, stoking dan peralatan menulis.
Tambah Adly, semua bantuan daripada Pernama akan disalurkan menerusi persatuan veteran sedia ada.
“Macam banjir yang berlaku di Kelantan dan Terengganu, kita guna Pernama untuk membantu veteran ATM dengan peruntukan yang disediakan.
“Sudah menjadi dasar kementerian untuk membantu veteran ATM ini yang ditimpa pelbagai bencana termasuklah banjir di Johor khususnya, agar beban mereka dapat diringankan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE