KUALA LUMPUR – Bukan gimik konsert, sebaliknya Ratu Rock Ella memadamkan hantaran Instagram supaya peminat fokus terhadap ucapan terima kasih yang dikongsikan bersempena ulang tahun ke-35 dalam industri muzik.
Katanya, ramai salah faham apabila menyangka dirinya mahu bersara hingga ada dalam kalangan pengikut tegar mendedahkan mereka menangis kesedihan.
“Semua ini tiada kaitan dengan gimik mengadakan konsert kerana saya memilih memadamkan semua hantaran dan cuma meninggalkan muat naik terbaharu berkaitan ucapan terima kasih bagi memastikan peminat nampak.
“Kebiasaanya kita hanya skrol saja perkongsian terbaharu orang lain, jadi dengan meninggalkan satu saja hantaran saya ingin peminat tahu saya cukup menghargai mereka hingga saya bertahan sampai sekarang.
“Saya pun tak sangka sampai ada peminat yang mesej dalam laman sosial mengatakan terkejut kerana menyangka saya mahu berundur daripada dunia seni.
“Itu antara sebab saya sanggup padamkan gambar lain, tiada kaitan dengan penganjuran konsert nanti. Ucapan terima kasih saya ini sangat istimewa,” katanya kepada Kosmo! Online.
Penghibur kesayangan ramai itu berkata demikian ketika ditemui selepas pengumuman Konsert 35 Tahun – Jilid Akhir: Ella Puteri Kota, di sini, hari ini.
Pemilik nama sebenar Nor Zila Aminuddin, 57, bakal mengadakan konsert mega yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 10 Jun depan.
Akuinya, walaupun namanya Jilid Terakhir, ini bukan konsert terakhir saya kerana persembahan kali ini merujuk kepada buku mengenai pengembaraan seni saya sejak lebih tiga dekad lalu.
“Konsert yang membariskan 35 lagu iaitu simbolik 35 tahun ini juga sebagai penanda untuk pengembaraan seterusnya dalam arena muzik.
“Antara lagu yang bakal dibawakan adalah Sembilu, Baldu Biru, Standing in the Eyes of the World,” ulasnya lagi.
Memilih Datuk Acis sebagai pengarah muzik, konsert anjuran Hitman Solutions menawarkan tiket berharga antara RM99 hingga RM499.0 menerusi www.hitmanlive.com. – KOSMO! ONLINE