fbpx

‘Order makanan guna kod QR menyusahkan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penggunaan kod QR untuk membuat pesanan semakin popular digunakan di restoran. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Kebanyakan restoran kini beralih kepada penggunaan kod respons pantas (QR) untuk membuat pesanan makanan, namun tidak semua pelanggan menge­tahui kaedah menggunakannya terutama golongan warga emas.

Selain itu, terdapat pelanggan yang berdepan dengan masalah seperti ketiadaan internet, tidak memiliki telefon canggih atau tiada aplikasi imbasan kod QR.

Tinjauan Kosmo! di beberapa restoran semalam mendapati, kumpulan pelanggan berusia 45 tahun dan ke atas kurang memahami cara penggunaan kod QR.

Sebaliknya mereka memberitahu lebih selesa membuat pesanan secara manual dengan pekerja datang ke meja atau berurusan di kaunter pesanan.

Seorang pelanggan, Mohd. Hajiji Amiruddin, 56, berkata, setiap kali dia bersama isteri i­ngin makan di restoran dan dimaklumkan pekerja pesanan perlu dibuat menerusi imbasan kod QR, mereka berdua pastinya akan keluar semula.

“Kami memang tak pandai nak guna teknologi sekarang ini, nak baca tulisan orang putih (bahasa Inggeris) memang lagi tak faham.

“Apabila kami berdua nak keluar makan, kena guna kaedah kod QR ini memang saya tak pandai,” katanya.

Menurutnya, dia dan isteri ada meminta pekerja restoran untuk mengambil pesanan secara ma­nual, tetapi ia dikatakan langgar prosedur kedai makan mereka.

“Apabila dah tak tahu, saya panggil pekerja untuk buat pesanan dari meja, tapi mereka kata, prosedur restoran kena pesan ikut sistem sebagai data simpanan mereka.

“Kasihan juga orang-orang tua macam kami ini, apabila nak makan di kedai tak tahu nak pesan macam mana, hari ini pun makan, sebab ada cucu ikut sekali, dia tahu guna kod QR,” jelasnya.

Samsiah Abu Bakar, 63, pula memaklumkan dia hampir bergaduh dengan pihak restoran apabila makanan yang dipesan menjadi double order disebabkan aplikasi pesanan secara dalam talian itu tidak menunjukkan pesanan selesai dihantar.

“Sudah la nak faham aplikasi kedai makan ini pun susah, kemudian apabila pelanggan dan buat pesanan, tak ada tulis order submitted, jadi kita ingat pesa­nan yang pertama tidak berjaya dibuat, dan buat sekali lagi.

“Apabila selesai, jadi pertindihan pesanan pula yang sampai ke meja kami, apabila kita kata hanya buat satu pesanan, pekerja marah pula kerana dalam sistem katanya ada dua,” ujarnya.

Wanita itu bagaimanapun turut mengakui kesilapannya, namun memperingatkan pihak restoran supaya sentiasa melakukan penambahbaikan aplikasi kod QR agar mudah difahami pelanggan.

“Orang yang berusia macam saya bukan faham sistem baharu sekarang, banyak yang kami sudah ketinggalan, apabila pelanggan salah buat pesanan, dimarah pula, kita minta tolong ajar tak dilayan, nak pesan manual tak dilayan juga,” katanya.

Sementara itu, Puteri Nuraisyah Azman Ali, 27, berkata, dia kurang gemar membuat pesanan makanan menerusi aplikasi khas yang disediakan pihak restoran disebabkan sebahagian besar sistem itu tidak mudah untuk difahami pelanggan.

“Ada yang susun atur ‘layout’ menu dalam sistem yang agak terabur, pelanggan susah nak faham, nak pesan nasi goreng pun susah apabila tiada pecahan makanan ikut kategori.

“Pelanggan akan buang masa hampir 45 minit semata-mata nak faham sistem pesanan tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI