PETALING JAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Muhamad Akmal Saleh, mendahului tiga pencabar dalam saingan merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti yang berlangsung hari ini.
Berdasarkan keputusan rasmi, Muhamad Akmal mendahului dengan meraih undi dari tujuh bahagian UMNO berdasarkan keputusan sehingga kini.
Ia diikuti Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd. Shahar Abdullah dengan empat undi dari bahagian manakala Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Meor Hassan Mat Ali masing-masing masih belum meraih sebarang undi.
Hari ini, perwakilan tiga sayap UMNO di 189 bahagian akan memilih pemimpin masing-masing dengan empat calon bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO selepas penyandang Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan tidak mempertahankan jawatan itu.
Selain itu, tujuh calon menawarkan diri untuk bertanding jawatan Pengerusi Tetap, 12 calon untuk Timbalan Pengerusi Tetap, empat untuk Naib Ketua dan bagi 113 jawatan EXCO. – KOSMO! ONLINE