KUALA TERENGGANU – Pasukan Hoki Terengganu (THT) membuktikan keunggulan apabila berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi TNB 3-2 sekaligus mengekalkan kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.
Kemenangan dramatik itu menyaksikan THT mengutip 40 mata daripada 14 perlawanan bagi mengatasi pencabar terdekat, TNB di tangga kedua yang mengumpul 34 mata.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, THT bermula garang dengan pukulan sudut penalti Jang Jonghyun pada minit kelima dan percubaan Syarman Mat Tee yang dinafikan penjaga gol TNB.
Disebalik penguasaan itu, THT dikejutkan gol pembukaan penyerang berbisa TNB, Azrai Aizad Abu Kamal yang menyambar umpanan Mughni Mohamad Kamal pada minit ke-30.
Aksi makin rancak lima minit bersambung babak kedua apabila gerakan Marhan Mohd. Jalil dari sebelah kiri disudahkan dengan baik oleh Abdul Khaliq Hamirin untuk gol penyamaan THT.
Begitupun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Aminudin Mohd. Zain (m-42) melakukan pukulan sudut penalti sempurna dan meletakkan TNB 2-1 di depan.
Kebangkitan THT diteruskan pada suku keempat apabila pukulan sudut penalti Jonghyun menerjah jaring pada minit ke-47 untuk kembali mengimbangi permainan.
Pakar flik Korea Selatan itu muncul wira selepas menjaringkan gol ketiga juga melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-60 dan melengkapkan kemenangan 3-2 buat THT. – KOSMO! ONLINE