BOURNEMOUTH – Tidak sampai seminggu selepas membelasah Manchester United 7-0, Liverpool kembali ke prestasi lama apabila tewas mengejut 0-1 kepada pasukan bergelut, Bournemouth pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Vitality sebentar tadi.
Keputusan itu sekali gus meletakkan The Reds kembali berada dalam keadaan tidak menentu walaupun sudah mencatat dua kemenangan berturut-turut sebelum ini termasuk menang besar ke atas United.
Pada perlawanan tersebut, Liverpool dilihat sebagai pasukan lebih baik apabila menguasai sebahagian besar perlawanan selain melakukan lebih banyak percubaan ke arah pintu gol lawan.
Pemain tengah The Cherries, Philip Billing menjadi wira pasukan itu apabila meledak gol kemenangan Bournemouth pada minit ke-28 selepas menerima hantaran pemain sayap, Dango Ouattara.
Trio Liverpool, Mohamed Salah, Darwin Nunez dan Cody Gakpo yang ‘mengganas’ ketika membelasah United minggu lalu gagal memberikan impak pada perlawanan tersebut apabila dikawal ketat barisan pertahanan tuan rumah.
Salah berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-69, namun sepakan penalti yang disempurnakan pemain antarabangsa Mesir itu gagal menemui sasaran.
Bournemouth kini boleh menarik nafas lega apabila kemenangan itu membolehkan mereka keluar dari zon penyingkiran, namun hanya dibezakan dua mata dengan pasukan tangga ke-18, Leeds United yang akan beraksi sebentar lagi. – KOSMO! ONLINE