BACHOK – Seorang lelaki ditemui lemas manakala rakannya selamat semasa mereka dipercayai sedang mandi-manda di Pantai Rekang, Melawi di sini petang tadi.
Kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam yang menyedari kejadian itu, namun mangsa yang berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia.
Rakan mangsa yang berusia 37 tahun dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Riduan Mohamad Ghazali ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.48 petang.
Katanya, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati dua lelaki hilang di Pantai Rekang dipercayai lemas.- KOSMO! ONLINE