PETALING JAYA – Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) melancarkan Program Advokasi Kesihatan Mental MIASA bagi mendedahkan dan melatih golongan muda menjadi individu terkedepan dalam memberi sokongan berkaitan kesihatan mental dengan lebih berkesan.
Golongan muda tersebut melibatkan 20 peserta terdiri daripada 10 penuntut universiti dan 10 pelajar sekolah yang menyertai program itu bermula April hingga September depan.
Presiden dan Pengasas MIASA, Anita Abu Bakar berkata, pendaftaran bagi program tersebut telah dibuka dan pihaknya akan melakukan saringan kepada kesemua permohonan dengan ketat bagi mencari individu layak yang memenuhi kriteria.
“Apabila bercakap mengenai kesihatan mental ini, ada yang berdepan dengan driskiminasi selain stigma, jadi kita mahu mulakan generasi yang bebas (daripada stigma berkaitan kesihatan mental).
“Sepanjang tempoh program ini, antara pengisian tersebut mengenai pendidikan psikologi termasuk kepentingan membanteras stigma, bagaimana berdepan driskiminasi memandangkan kesihatan mental turut dihadapi pelajar selain intervensi pencegahan bunuh diri dan pelbagai lagi.
“Dengan pendedahan ilmu sepanjang program tersebut, hasilnya peserta-peserta ini boleh menjadi ikon dalam memberi sokongan, pendedahan dan penerangan berkaitan kesihatan mental kepada umum seperti program ‘talk show’ di Facebook dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pelancaran Program Advokasi Kesihatan Mental MIASA sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2023 di Damansara, di sini hari ini.
Ditanya kesedaran kesihatan mental dalam kalangan golongan muda, Anita menyifatkan generasi kini lebih terbuka dan mempunyai pengetahuan memandangkan akses mendapatkan maklumat boleh diperolehi dengan mudah.
Katanya, bagaimanapun itu bukan bermaksud segala maklumat tersebut memberikan persepsi yang betul sekali gus mereka perlu diberi pendedahan dengan sebaiknya.
Terdahulu, pada majlis tersebut, turut berlangsung perkongsian kisah dan pengalaman bersama lima jemputan termasuk pelakon, Puteri Balqis atau Aqish. – KOSMO! ONLINE