SEBERANG PERAI – Sebanyak 18 inisiatif kewangan disediakan Kementerian Pendidikan bagi membantu murid serta pelajar sekolah yang terkesan sebaik sesi persekolahan baharu bermula nanti.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, nilai bantuan itu bagaimanapun pelbagai dan berbeza mengikut keperluan mereka ketika ini.
Menurutnya, permohonan untuk mendapatkan bantuan boleh dikemukakan kepada pihak sekolah, Jabatan Pendidikan negeri (JPN) atau pejabat pendidikan daerah (PPD) masing-masing untuk dipertimbangkan.
“Sebab itu kita ada sehingga 18 inisiatif (kewangan) kerana tidak semua anak-anak itu sama keperluannya. Jadi, kita akan lihat bantuan yang dimohon oleh anak-anak ini (terlebih dahulu),” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Tambah Fadhlina, apa yang penting adalah kumpulan murid serta pelajar sekolah yang terjejas itu boleh meneruskan sesi pembelajaran di sekolah masing-masing tanpa dibelenggu sebarang masalah. -KOSMO! ONLINE